Jumat, 18 Januari 2013

Yusof Haslam Kesal Dengan Kenyataan Patrick Teoh Yang Menghina Islam

Yusof Haslam kesal dengan kenyataan pelakon Patrick Teoh yang menghina agama Islam menerusi laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.




PETALING JAYA: Kenyataan pelakon Patrick Teoh yang menghina agama Islam menerusi laman sosial Facebook miliknya harus dijadikan pengajaran buat semua masyarakat di negara ini.

Penerbit dan pengarah filem, Datuk Yusof Haslam berkata, sebagai 'orang lama' dan dikenali dalam industri seni tempatan, Patrick sebagai seorang selebriti yang dikenali tidak wajar mengeluarkan kenyataan sedemikian yang menyentuh sensitiviti masyarakat beragama.

"Tidak kiralah agama apa sekalipun, sebagai masyarakat yang hidup berbilang kaum, kita harus tahu batas-batas percakapan yang kadang kala mampu mengundang sensitiviti kepada lain.

"Kenyataan yang dikeluarkan Patrick dalam Facebook miliknya harus diberi pengajaran buat semua orang agar lebih berhati-hati dalam setiap kata-kata yang ingin diluahkan.



Patrick Teoh mendapat cemuhan pelbagai pihak sehinggalah beliau memohon maaf secara terbuka serta mengakui kesilapannya itu. 


"Terutamanya di laman sosial Internet, ramai pengikut yang akan membacanya," kata Yusof yang ditemui di majlis tayangan media Radio Televisyen Malaysia, di Pusat Konvensyen Sime Darby, di sini, petang Jumaat.

Rabu lalu, Patrick atau nama sebenarnya Teoh Kah Yong telah mengeluarkan kenyataan menghina agama Islam menerusi laman Facebooknya.

Patrick meluahkan rasa tidak puas hatinya dengan mempersoalkan panduan penganjuran program Tahun Baru Cina oleh kerajaan Kedah pimpinan PAS yang mengenakan syarat persembahan lagu di negeri itu haruslah berbentuk motivasi dan artis perlu pakaian sopan selain didakwa merendahkan martabat al-Quran.

Ekoran daripada kenyataan itu, Patrick mendapat cemuhan pelbagai pihak sehinggalah beliau memohon maaf secara terbuka serta mengakui kesilapannya itu.

Sementara itu, Presiden Persatuan Seniman, Zed Zaidi menerusi laman Twitter miliknya menyatakan hasrat untuk mengambil tindakan terhadap Patrick.

Patrick merupakan bekas pembaca berita berbahasa Inggeris di TV3, penggiat teater serta pelakon siri sitkom Show Me The Money, di ntv7 (2004), Jazz Cafe (RTM2, 2006) dan My Starz (TV3, 2007).

Oleh FERIDE HIKMET ATAK

0 komentar:

Posting Komentar