Mohd Nazmi (kiri) dan Tengku Fiella
Salah satu status pada Twitter Mohd Nazmi yang mencetuskan kontroversi.
Nazmi membuat permohonan maaf menerusi Twitter miliknya pada malam Isnin.
PETALING JAYA: Pemain bola sepak kebangsaan, Aidil Zafuan Abd. Radzak menuntut bintang bola sepak kelab SC Beira-Mar Portugal, Mohd. Nazmi Faiz Mansor membuat permohonan maaf secara terbuka kerana menuduhnya menjalinkan hubungan sulit dengan bekas teman wanitanya, Tengku Fiella.
Aidil, 25, yang juga pemain bola sepak pasukan negeri Johor berkata, tuduhan Mohd Nazmi, 19, yang dibuat menerusi Twitter miliknya itu telah memburukkan lagi keadaan Aidil yang masih berhadapan masalah rumah tangga dengan pelakon Rita Rudaini.
“Masalah saya dengan Rita masih belum selesai, timbul pula hal baru yang tidak benar. Saya tidak menjalinkan hubungan dengan mana-mana wanita dan saya minta Mohd Nazmi memohon maaf dengan tuduhannya itu,” kata Aidil kepada mStar Online yang dihubungi di sini petang pada Isnin.
Mohd Nazmi yang juga bintang bola sepak remaja kebangsaan menerusi Twitter miliknya pada Isnin telah menuduh Aidil Zafuan mempunyai hubungan dengan bekas kekasihnya sehingga sanggup memberikan wang RM1,000 untuk berbelanja.
Malah Mohd Nazmi juga mendakwa kedua-dua mereka turut tinggal bersama sejak beberapa minggu lalu selepas diberitahu oleh rakannya.
Bagaimanapun, kira-kira pukul 9.30 pagi Isnin, Mohd Nazmi telah memadamkan komen berkenaan menerusi Twitter miliknya tetapi sempat disalin oleh pihak mStar Online.
Tambah Aidil, dia telah menghubungi Mohd Nazmi yang kini berada di Portugal pada petang Isnin untuk mendapatkan gambaran kenapakah dia memuat naik status tersebut.
Aidil Zafuan
Katanya, Mohd Nazmi memberitahu dia berbuat demikian kerana begitu marahkan bekas teman wanitanya itu selain terlalu mendengar cakap rakan-rakan mengenai hal berkenaan.
"Nazmi menjelaskan bahawa dia tidak fikir panjang apabila mendapat tahu kononnya saya mempunyai hubungan dengan bekas kekasihnya selain tidak memikirkan kesan daripada tindakannya memuat naik status tidak benar itu.
“Dia sudah memohon maaf daripada saya dan sebagai orang yang lebih tua daripadanya, saya memaafkan dia walaupun yang nampak buruknya akan terkena pada saya. Maklumlah (dia) darah muda.
"Cuma saya mahu dia bersihkan nama saya. Lagipun kami tidak bermusuhan pun," ujarnya.
Nazmi membuat permohonan maaf menerusi Twitter miliknya pada malam Isnin.
Aidil turut memberitahu dia tidak mengenali gadis yang dimaksudkan Mohd Nazmi manakala jumlah RM1,000 yang dikatakan itu juga tidak benar.
Sementara itu Tengku Fiella yang merupakan gadis kelahiran Kelantan berkata Mohd Nazmi merupakan seorang yang kuat cemburu dan meminta semua pihak tidak mengambil serius kenyataan itu.
“Jangan ambil serius apa yang Nazmi Faiz tulis di Twitter kerana dia sendiri belum matang dan mungkin dalam keadaan tertekan dengan kelab di portugal,” katanya seperti dilaporkan portal rotikaya.com. pada Isnin.
Malah gadis tersebut juga berkata dia tidak pernah mengenali Aidil Zafuan dan bersimpati kerana turut dikaitkan dalam isu itu.
Dalam perkembangan terbaharu, Mohd Nazmi telah membuat permohonan maaf menerusi Twitter miliknya kira-kira pukul 9 malam Isnin dan meminta semua pihak tidak menyalahkan Aidil.
"Saya minta maaf mengenai perkara yang lepas, jangan salahkan Aidil Zafuan. Dia tiada kaitan dalam hal ini," katanya.
Oleh FERIDE HIKMET ATAK
0 komentar:
Posting Komentar