Aizat sedang menerima hadiah yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Operasi Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Ahmad Izham Omar.
PERSEMBAHAN Aizat menyanyikan lagu Terukir Di Bintang ciptaan sepenuhnya Yuna (gambar kecil) pada Anugerah Juara Lagu Ke-27 (AJL27).
INFO: Pemenang/Hadiah AJL27
* Juara - Terukir Di Bintang (Trofi dan wang tunai RM35,000)
* Naib Juara - Idola (Trofi dan wang tunai RM15,000)
* Tempat Ketiga - Ku Akui (Trofi dan wang tunai RM12,000)
* Persembahan Terbaik - Black & RJ (Trofi dan wang tunai RM10,000)
* Vokal Terbaik - Hafiz (Trofi dan wang tunai RM10,000)
Kuala Lumpur: “Apabila saya dipilih menyanyi lagu ini, saya rasa macam bermimpi. Saya cuma fikir dia (Yuna) adalah kawan saya dan saya bersedia membantunya,” kata penyanyi Aizat Amdan yang menggantikan Yunalis Zarai menyampaikan lagu Terukir Di Bintang yang muncul juara Anugerah Juara Lagu ke-27 (AJL27) di Stadium Putra Bukit Jalil, di sini, malam tadi.
Dengan kemenangan itu, Yuna selaku komposer dan penulis lirik yang tidak hadir berikutan berada di Amerika Syarikat berjaya membawa pulang hadiah berupa trofi dan wang tunai keseluruhan RM35,000.
Naib juara dimenangi lagu Idola ciptaan Audi Mok serta lirik, Azlan yang dinyanyikan oleh Azlan & The Typewriter sekali gus membawa pulang hadiah trofi dan wang tunai RM15,000.
Penyanyi Mohd Hafiz Mohd Suip (Hafiz) menang kategori Vokal Terbaik buat kali ketiga berturut-turut dengan menerima trofi dan wang tunai RM10,000. Dia bersama komposer Ajai turut merangkul trofi tempat ketiga melalui lagu Ku Akui membawa pulang bersama wang tunai sebanyak RM12,000.
“Saya bersyukur pada Tuhan dan ini juga adalah sokongan ibu bapa saya. Lagu ini banyak memberi inspirasi pada saya,” kata Hafiz.
Bagi pemenang kategori Persembahan Terbaik pula dimenangi penyanyi Black bersama RJ menerusi lagu Teman Pengganti dengan menerima trofi dan wang tunai berjumlah RM10,000. Lagu Ombak Rindu nyanyian Hafiz dan Adira menang anugerah Juara Mobile Xpax.
Persembahan mantap Hazama & Amy Search dalam lagu Simetri .
Aksi Jimmy Palikat dan One Nation Emcee dengan lagu Anak Kampung.
Lagu lain yang turut bertanding ialah Patah Seribu (Shila Amzah), Amir Jahari (Tanpamu) dan Anak Kampung (Jimmy Palikat dan One Nation Emcee), Pelangi Senja (Stacy), Andai Ku Bercinta Lagi (Mojo), Lagu (Bedroom Santuary) dan Simetri (Hazama & Amy Search).
Hadiah disampaikan Ketua Pegawai Operasi Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Ahmad Izham Omar.
Persembahan 12 finalis AJL27 diadili 10 juri profesional iaitu komposer Azmeer selaku ketua juri dibantu Aubrey Suwito, Helen Yap, Eddie Marzuki, Acis, Yasin Sulaiman, Ramli Sarip, Edrie Hashim, Ad Samad dan penyanyi Indonesia, Hetty Koes Endang.
Acara bertemakan Ekspresi Seni dimeriahkan dengan persembahan hiburan dari barisan penyanyi terkenal tanah air iaitu Misha Omar, Ziana Zain, Faizal Tahir, Royal Air Force, penyanyi rock Ramli Sarip, Man Kidal, Aris Ariwatan, Joey BPR dan Rahmat Mega. Gandingan pengacara pada malam itu ialah Faizal Ismail dan Cheryl Samad. Tidak ketinggalan, gandingan hos yang mengacarakan segmen 'Purple Carpet' yang menampilkan trio iaitu Kamal Adli, Miera Lyana dan Sazzy Falak.
Saksikan persembahan hebat Aizat mengalunkan lagu Yuna 'Terukir Di Bintang' pada malam final AJL 27
Oleh Nor Akmar Samudin dan Ramlah Zainal
0 komentar:
Posting Komentar