Selasa, 29 Januari 2013

Benarkah Saida Masih Belum Berpunya??

KAKAK kepada Siti Nurhaliza ini mengakui belum ada lelaki yang melamar dirinya untuk dijadikan isteri buat masa ini.
 

PENYANYI Siti Nursaida Tarudin atau Saida yang merupakan kakak kepada penyanyi terkenal Datuk Siti Nurhaliza kini memegang status ibu tunggal kepada empat orang anak selepas bercerai dengan suaminya pada Oktober 2011.

Sejak menjanda, banyak gosip hangat yang melanda dirinya termasuklah dia dikatakan bercinta dengan orang kenamaan. Ada juga gosip kononnya dia mahu berkahwin dengan seorang penerbit drama.

Namun, sehingga hari ini Saida, 37, kekal dengan status janda. Ketika ditemui pada majlis Jom Fiesta anjuran Utusan Karya Sdn. Bhd., Bangi, Selangor pada Sabtu lalu Saida mengakui, dia tidak serik untuk kembali bercinta. Ikuti temu bual Kosmo! bersamanya.

Kosmo!: Kenapakah berat badan Saida kelihatan semakin menurun? Adakah kerana susah hati?

SAIDA: Sebenarnya bukan sebab makan hati tetapi saya memang mahu kurus. Sebelum ini berat badan saya 57 kilogram (kg) sekarang 54 kg. Saya kini mengamalkan gaya hidup yang sihat untuk kekal cergas.

Bagaimanakah dengan kehidupan selepas bergelar janda?

Alhamdulillah, kehidupan saya seperti biasa. Pagi sibuk menguruskan anak sekolah, saya masih memegang jawatan sebagai pengurus akaun di Siti Nurhaliza Production. Pada hujung minggu, jika masa mengizinkan saya akan memenuhi undangan pentas.

SAIDA menegaskan dia kini dalam mengamalkan gaya hidup yang sihat untuk mengekalkan berat badan.
 

Tidak ada lelaki yang melamar anda untuk dijadikan isteri?

(Ketawa) Setakat ini belum lagi. Saya masih solo, belum berpunya. Bukan tidak mahu berkahwin lagi kerana jodoh ketentuan itu ketentuan Allah tetapi buat masa sekarang, jadual harian saya sangat padat sehingga tidak ada masa memikirkan tentang teman hidup. Paling penting untuk saya buat masa sekarang sudah tentu anak-anak dan kerjaya.

Jika ada yang ingin melamar anda, apakah kriteria utama lelaki pilihan anda?

Paling utama, lelaki itu harus menerima saya seadanya. Maknanya, bukan sahaja menerima diri saya tetapi juga empat orang anak saya. Jika tidak dapat terima anak-anak saya, lelaki itu bukanlah lelaki pilihan. Memang bukan mudah untuk lelaki mendekati saya kerana ke mana sahaja saya pergi pasti akan ditemani ahli keluarga.

Adakah anda meletakkan sebarang sasaran untuk menamatkan zaman janda?

Tiada sebarang sasaran kerana jodoh itu bukan kuasa saya tetapi Allah. Jika ditakdirkan saya menemui jodoh selepas ini, saya akur tetapi tidaklah buat masa sekarang kerana sibuk sangat.

Jika sudah sibuk dengan jadual harian bagaimana pula dengan dengan kerjaya nyanyian?

Mungkin orang sangka saya sudah tidak menyanyi kerana saya sudah tidak muncul di televisyen, akhbar dan majalah. Walaupun sibuk dengan kerja tetap dan mengurus keluarga, minat menyanyi itu sudah sebati dengan diri saya. Memanglah tidak aktif seperti dahulu tetapi setiap hujung minggu pasti saya akan mengadakan persembahan pentas. Tahun lalu saya telah menghasilkan sebuah single berjudul Cinta Kayangan dan jika tiada aral melintang saya akan muncul dengan single baharu.

Oleh HARYATI KARIM

0 komentar:

Posting Komentar