Selasa, 20 November 2012

'Usop Wilcha' Tinggalkan Hot FM Kerana Faktor Usia

Syed Mohammed Asri Syed Osman Jamalulail juga dikenali sebagai Shy8 atau lebih popular sebagai 'Ucop Wilcha'.
 

PETALING JAYA: Pelakon komedi Shy8 yang terkenal dengan gelaran Usop Wilcha berkata keputusan untuk berundur diri sebagai penyampai radio Hot FM pada hujung bulan ini bukan disebabkan popularitinya yang merudum.

Sebaliknya, Shy8 atau nama sebenarnya Syed Mohammed Asri Syed Osman Jamalulail, 47, berkata, perkara itu dilakukan kerana faktor pengurusan masa dan usia.

"Umur saya semakin meningkat, sudah 47 tahun. Saya sudah tidak larat untuk melakukan kerja lain pada waktu malam dan terpaksa bangun awal pagi untuk studio radio.

"Keputusan ini perlu saya ambil juga sama ada sekarang atau kemudian hari demi komitmen masa untuk keluarga dan cabang seni yang lain," katanya.

Shy8 berkata demikian ketika ditemui pada pelancaran filem terbaharu berjudul Kahwin 5 arahan Nizam Zakaria di Cathay e @ Curve, Mutiara Damansara di sini, petang Selasa.

Dia yang memulakan tugas sebagai penyampai segmen pagi AM Krew pada 16 Jun tahun lalu mempunyai baki kontrak kira-kira enam bulan yang sepatutnya berakhir pada 16 Jun 2013.

Shy8 berkata, dia juga tidak kisah dengan apa jua persepsi yang bakal timbul ekoran pengundurannya secara mengejut itu.

"Saya tidak kisah dengan persepsi yang mendakwa kegagalan saya meningkatkan peratus pendengar radio menyebabkan saya berundur.

"Orang boleh cakap apa sahaja tetapi mereka tidak tahu keadaan sebenar yang saya lalui sejak setahun setengah bergelar penyampai radio.

"Masih ramai yang menyokong kerjaya seni saya walaupun ada yang tidak suka. Ia adalah perkara normal dalam meniti kejayaan," katanya.

Pelakon yang mencipta nama menerusi filem Hantu Kak Limah Balik Rumah (2010) ini berkata, keputusan berundur diri sudah dibincangkan dengan pengurusan radio sejak dua bulan lalu.

"Sebenarnya sudah lama saya fikirkan untuk berundur. Dua atau tiga bulan lepas saya sudah berbincang dengan pihak pengurusan radio.

"Mereka faham dan hormati keputusan saya. Mereka minta saya berhenti secara perlahan-lahan dan mula beralih kepada kerja-kerja belakang tabir kebelakangan ini," katanya.

Dalam filem Kahwin 5 terbitan Showbiz Productions itu, Shy8 menggalas watak utama sebagai Dr K yang mempunyai lima isteri.

Filem yang turut dibintangi antaranya Fizz Fairuz, Norish Karman, Dian P. Ramlee, Soffi Jikan, Anzalna, Marsha Londoh dan Adrea Abdullah itu bakal ditayangkan bermula 27 Disember depan.

Oleh WAHIDUZZAMAN

0 komentar:

Posting Komentar