Gambar kenangan..Alif Aziz dan Anne Ngasri
SUBANG JAYA: Penyanyi Aliff Aziz mendedahkan hatinya benar-benar terluka selepas bekas kekasihnya membuat keputusan untuk berkahwin dengan Setiausaha Kerja, Pergerakan Pemuda Umno, Mohd Sumali Reduan, 40, yang dijadualkan pada 22 Disember depan.
Lebih memilukan kata Aliff, dia dan Anne pada dasarnya telah bersetuju dengan menetapkan bulan Disember ini untuk diijabkabulkan sebagai suami isteri.
"Ketika masih menjalinkan cinta bersama, kami merancang untuk menamatkan hubungan ini dengan sebuah ikatan perkahwinan pada Disember depan.
"Memang perancangan itu menjadi tetapi sayangnya lelaki yang dipilih Anne bukanlah saya tetapi orang lain.
"Sebelum ini, Anne pernah berkata bahawa saya adalah cinta terakhirnya dan jika jodoh kami tidak menjadi, dia akan berkahwin dengan sesiapa sahaja mengikut pilihan keluarganya," kata Aliff.
Penyanyi kelahiran Singapura itu ditemui pada majlis pengumuman Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2012 (ABPBH 2012) di Holliday Villa, dekat sini pada Rabu.
Tambah Aliff atau nama sebenarnya Mohammad Aliff Aziz, 21, dia menyangka Anne, 28, merupakan jodohnya apabila melihat kesempurnaan yang terdapat pada diri wanita itu.
Kata Aliff, cintanya terhadap Anne begitu mendalam sehingga menyebabkan hatinya terluka apabila hasrat untuk berumah tangga tidak kesampaian.
Anne Ngasri dan Mohd Sumali akan bernikah pada 22 Disember depan di Pontian, Johor.
"Jujurnya, saya tidak pernah merasai perasaan cinta yang mendalam seperti ini. Apabila hubungan kami tidak menjadi, ia benar-benar membuatkan hati saya terluka.
"Sepanjang sebulan lebih saya berehat kerana beberapa masalah kesihatan, saya juga cuba menyembuhkan hati ini.
"Luka yang terlalu mendalam ini tiada siapa yang boleh mengubatnya kecuali Allah. Saya memohon kepada-Nya supaya kesakitan yang dirasai dapat dikurangkan selain berdoa untuk kebahagiaan Anne. Dia seorang wanita yang cukup sempurna di mata saya," tuturnya.
Dalam pada itu, beritahu Aliff lagi, walaupun hubungannya bersama Anne hanya mampu bertahan selama lapan bulan, namun dia tetap bersyukur kerana diberi peluang untuk menyayangi wanita itu.
Malah kegagalan hubungan yang dijalinkan itu dianggap sebagai tiada jodoh selain merasakan dia mungkin telah mengabaikan tanggungjawabnya terhadap Anne tanpa sedar.
"Saya tak tahu di mana silapnya hubungan kami. Mungkin saya terlalu ramah dengan orang lain sehingga membuatkan dia (Anne) ragu-ragu terhadap kejujuran saya sehingga ia menjadi masalah kepada perhubungan kami.
"Kegagalan hubungan ini merupakan satu pengajaran yang besar dan mengingatkan saya supaya jangan mengabaikan orang yang kita sayangi kerana Tuhan boleh menarik cinta itu dengan serta merta.
"Selain itu saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada keluarga terutamanya ibu bapa Anne kerana menyayangi saya seperti anak mereka sendiri dan halalkanlah makan minum saya," ujarnya.
Anne atau nama sebenarnya Nasriah Ngasri, telah bertunang dengan Mohd Sumali di kediaman keluarga Anne di Jalan Ipoh, dekat sini pada 11 November lalu.
Pasangan itu bersepakat untuk mengadakan majlis akad nikah di rumah keluarga pihak lelaki di Pontian, Johor.
Oleh FERIDE HIKMET ATAK
0 komentar:
Posting Komentar