Rabu, 26 Maret 2014

Krisis Antara Izzue Islam Dan Anzalna Nasir Masih Belum Berakhir

Anzalna Nasir menjayakan karakter sebagai seorang perempuan simpanan dalam drama bersiri slot Akasia TV3 'Aku Isterinya'.

 
KETIDAKHADIRAN Izzue pada majlis pelancaran drama bersiri Aku Isterinya awal minggu ini seperti mengiyakan krisis antara anggota kumpulan Forteen itu dan Anzalna Nasir masih belum berakhir.

Walaupun sebelum ini Izzue dan Anzalna telah mengeluarkan kenyataan bahawa masing-masing tiada masalah melibatkan etika dan profesional ketika bekerja, penjelasan itu sekadar mahu meredakan kemarahan sementara.

Pertengahan bulan Februari lalu, timbul dakwaan dua dramatis itu bermasam muka gara-gara tindakan Izzue yang mahu menjaga hati isterinya, Awin Nurin yang cemburu kerana Anzalna dikatakan terlebih gedik demi menjayakan karakter seorang perempuan simpanan.




Awin Nurin yang di katakan cemburu dengan lakonan intim Anzalna dan suaminya, Izzue Islam.

 
Penafian telah dibuat Anzalna, namun baki penggambaran yang perlu dilunaskan oleh kedua-dua pelakon itu masih memerlukan komitmen semua pihak terbabit termasuk isteri Izzue sendiri.

"Itu masalah dia. Sewaktu bekerja saya harus profesional. Kalau dia cuba mengelak dari- pada bertemu saya, ingatlah bahawa industri hiburan ini kecil saja.

"Saya tiada masalah untuk bekerjasama dengan sesiapa saja termasuk Izzue. Kalau mahu menjayakan sesuatu kerja perlu ada profesionalisme dan tak boleh buat sesuka hati," ujarnya yang ditemui pada majlis pelancaran drama Aku Isterinya di Sri Pentas TV3, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Lebih romantik

Izzue dan Anzalna akan diterbangkan bersama-sama ke Perth, Australia pada 30 Mac ini untuk menyiapkan baki penggambaran drama itu dalam tempoh masa enam hari.



ANZALNA tidak mempunyai sebarang masalah untuk bekerjasama dengan mana-mana pelakon lelaki termasuk Izzue Islam.


Malah, dikhabarkan juga akan terkandung lebih banyak babak romantis dan intim antara Anzalna dan Izzue sepanjang berada di negara tersebut.

"Tidak semestinya babak romantik perlu berpeluk! Lontaran dialog saja pun sudah mencukupi. Kalau perkara itu pun tak boleh buat, baik jangan berlakon," katanya yang bersedia dengan sebarang kemungkinan di sana.

Anzalna menjelaskan, dia tidak akan berdiam diri sekiranya dirinya dianiaya atau difitnah dengan cara mengaibkan selepas ini.

"Sudah pasti saya akan menegakkan perkara yang betul, kalau saya tidak bersalah kenapa perlu saya minta maaf tapi saya cuba elakkan bergaduh sampai perang mulut," tegasnya.

Suami orang

Mengakui sukar untuk berlakon bersama suami orang, kata Anzalna, dia cuba mengelakkan diri terjerat dengan sebarang kemelut atau spekulasi yang boleh menjejaskan reputasi baiknya.

Hormat barangkali kata dasar yang dipegang Anzalna, dia juga perlu menjaga maruah diri agar tidak dituduh penggoda suami orang dan perlu menjaga hati keluarga serta teman lelakinya, Hanif Zaki.

"Sebelum ini saya pernah berlakon dengan Adi Putra dan Aaron Aziz. Watak saya lagi jahat dan penggoda tapi tidak timbul pula sebarang isu.

"Saya cuba mengelak daripada babak berpegangan tangan kerana menghormati orang yang sudah berkahwin, kalau ada pun saya perlu kawal agar tidak melebih-lebih.

"Selama ini pun teman lelaki saya tidak masuk campur urusan kerjaya saya, masalah saya biar saya sendiri yang uruskan," jelas Anzalna yang tidak menafikan 'perang' yang tercetus antaranya dan Izzue.

Sebelum ini tidak pernah timbul sebarang pergaduhan melibatkan Anzalna dengan mana-mana artis di set penggam- baran, malah pelakon muda itu sehabis baik cuba menjaga nama baiknya daripada tercalar.

"Masalah yang timbul bukan datang dari- pada pihak saya, jadi biar dia yang selesaikan. Kalau sesiapa mahu timbulkan masalah, saya tidak peduli asalkan saya buat kerja saya secara profesional," katanya lagi.



PENGARAH drama Aku Isterinya, Fairuz Loy tidak menafikan heroinnya, Anzalna dan heronya, Izzue Islam berselisih faham.
Perempuan simpanan

Mengulas mengenai watak Mya Arlissa dalam drama rantaian baharu yang akan mengisi slot Akasia TV3, Aku Isterinya, karakter itu jelas Anzalna benar-benar menguji emosinya.

"Watak ini seperti melengkapkan persepsi orang bahawa saya seorang penggoda tapi Mya Arlissa sebenarnya bukan seperti yang disangka. Ini kali pertama saya melakonkan watak wanita baik yang dibuli," katanya.

Aku Isterinya mengisahkan Mya Arlissa yang sentiasa dibuli oleh mak cik dan sepupunya selepas kematian ibu dan bapanya.

Mya akhirnya dijual oleh suami mak ciknya, Murad kepada David yang menjalankan kegiatan pelacuran sehingga Mya bertemu dengan Mikail dan menebusnya di sebuah kelab malam.

Mikail dan Mya tinggal bersama selama dua tahun, namun menganggap gadis itu sekadar perempuan simpanan. Hidup pasangan itu berubah apabila Mya dirogol oleh kawan baik Mikail, Adam.

Cuba untuk mencari arah hidup baharu, Mya minta untuk dilepaskan dan Mikail telah meletakkan syarat kepada Mya untuk membayar RM50,000 sekiranya mahu bebas.



0 komentar:

Posting Komentar