Anzalna tidak mahu terlalu terbuka mendedahkan hubungannya dengan Hanif kerana bimbang ia akan menimbulkan rasa kurang senang segelintir pihak.
PETALING JAYA: Pelakon Anzalna Nasir menolak cakap-cakap orang kononnya hubungan dia dengan teman lelaki, Hanif Zaki mempunyai masalah ekoran dia jarang membawa kekasihnya itu ke mana-mana acara hiburan seperti yang dilakukan sebelum ini.
Anzalna, 26, berkata, ketiadaan pemuda itu menemaninya adalah disebabkan dia tidak mahu terlalu terbuka mendedahkan hubungan mereka kerana bimbang ia akan menimbulkan rasa kurang senang segelintir pihak.
"Hubungan kami masih baik dan percintaan juga berjalan seperti biasa cuma memang dia tidak lagi menemani saya ke majlis-majlis hiburan.
"Cukuplah dia sering menjadi perhatian sebelum ini kerana kami bimbang ada pihak yang kurang senang apabila dia sering bersama saya," katanya kepada mStar Online.
Anzalna bakal muncul dengan drama terbaharunya berjudul Aku Isterinya disamping Izzue Islam bermula 31 Mac ini menerusi slot Akasia di TV3.
Drama arahan Fairuz Loy itu akan bersiaran setiap hari Isnin hingga Khamis pada pukul 7 malam.
Dalam pada itu, Anzalna berkata, dia lebih selesa tidak mencampurkan urusan peribadi dengan kerjayanya kerana ia adalah jalan terbaik.
Malah kata Anzalna, Hanif juga sibuk membina kerjayanya sementara dia menumpukan perhatian kepada bidang lakonan.
Cinta Anzalna dan Hanif masih utuh.
"Dia adalah pemangkin semangat saya dan dia sentiasa ada apabila saya dalam keadaan susah dan senang. Pun begitu, mencampurkan urusan peribadi dengan kerjaya bukan sesuatu yang baik.
"Biarpun dia sering risau apabila ada kontroversi melanda, saya tidak mahu dia mencampuri perkara itu kerana enggan mengheretnya dalam masalah yang sama," jelasnya.
Kata Anzalna lagi, pengalaman selama beberapa tahun dalam bidang hiburan sedikit sebanyak mematangkannya selain mengajar dia untuk bersikap profesional apabila timbul sesuatu isu.
Terdahulu, Anzalna mengakui mempunyai masalah dengan pelakon Izzue Islam di set penggambaran drama Aku Isterinya namun memilih untuk tidak memanjangkan lagi isu berkenaan.
Kontroversi itu timbul selepas Izzue dikatakan kurang selesa dengan sikap Anzalna yang dikatakan berlebih-lebihan dalam menghayati watak dalam drama tersebut sehingga menyebabkan isterinya cemburu.
Dalam perkembangan lain, Anzalna bakal menjalani penggambaran drama bersiri Kalau Itu Jodoh Kita bersama pelakon Qi Razali dan Pekin Ibrahim untuk siaran TV Al-Hijrah.
Drama itu akan menjalani penggambaran di Istanbul, Turki pada April ini.
Oleh: MOHD AL QAYUM AZIZI
0 komentar:
Posting Komentar