Jumat, 12 Juli 2013

Penyanyi Dangdut Serbu Rumah Bekas Suami

Sheeda


TANGGAL 1 Ramadan ternyata memberi kelegaan buat penyanyi dangdut Sayyida Beevi M. Shahul Hameed, 50, atau lebih popular dengan panggilan Sheeda apabila anak bongsunya, Nur Fazlinda Ahmad Fazli, 13, kembali ke pangkuannya.

Sebelum ini, Sheeda terpaksa berpisah buat sementara dengan anak daripada perkahwinan keduanya bersama Ahmad Fazli Mohammad, 38, apabila bekas suaminya itu menghalangnya untuk berjumpa dengan Fazlinda.

Sehinggakan penyanyi yang dikenali menerusi lagu Angkat Kaki itu mengambil keputusan nekad untuk menyerbu rumah bekas suaminya yang terletak di Cheras, Kuala Lumpur dengan bantuan beberapa orang anggota polis.

Selepas serbuan tersebut berakhir, Kosmo! sempat menemu bual Sheeda yang ternyata kelihatan gembira di samping anaknya itu setelah tiga bulan berpisah.


Sheeda dan Fazlinda menunjukkan dua surat daripada pihak sekolah yang mengesahkan ketidakhadiran Fazlinda ke sekolah masing-masing pada tarikh dari 13 Jun hingga 1 Julai dan dari 4 hingga 10 Julai lalu.

 
Kosmo!: Bolehkah ceritakan tentang situasi sebenar mengenai kejadian yang menimpa anak Sheeda?

SHEEDA: Pada 4 Mei lalu saya dalam perjalanan pulang ke kampung di Kelantan bersama anak bongsu saya. Kemudian bekas suami saya, Fazli mahu berjumpa untuk berbincang mengenai sesuatu mengenai Fazlinda dan kami bertemu di sebuah restoran di Sri Gombak, Selangor. Dalam pertemuan itu berlaku sedikit pertengkaran kecil sehingga saya terpaksa menyerahkan anak saya kepada Fazli. Sepanjang perjalanan pulang ke kampung, saya menangis tidak henti-henti kerana hasrat untuk bercuti bersama anak tidak tercapai.

Apakah yang berlaku selepas pertemuan tersebut?

Saya amat sedih dan terkilan apabila bekas suami tidak lagi mengizinkan saya untuk bertemu dengan Fazlinda. Sepanjang tempoh tiga bulan kami ada berbincang supaya anak saya dikembalikan semula, tetapi Fazli berkeras tidak membenarkannya. Ibu mana yang tidak sedih apabila tidak dibenarkan untuk bertemu dengan anak sendiri. Lagipun, saya yang telah membesarkannya selama 13 tahun tanpa meminta sebarang bantuan daripada bekas suami.

SHEEDA bersyukur Fazlinda kini kembali ke pangkuannya.

Apakah tindakan Sheeda selanjutnya?

Kecewa dengan situasi yang berlaku saya mengambil keputusan untuk membuat aduan kepada Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) dan berharap mereka mendapat bantuan yang sewajarnya. Setelah saya mengemukakan aduan kepada Karyawan menerusi Datuk Freddie Fernandez, mereka mencadangkan supaya perkara ini dibawa ke mahkamah dan telah memperkenalkan saya dengan seorang peguam syarie iaitu Fakhrul Azman Abu Hassan.

Apa yang saya tahu kos untuk mendapatkan khidmat peguam seperti Fakrul Azman ini bukanlah murah, tetapi saya amat terharu dan berterima kasih kerana tidak perlu mengeluarkan satu sen pun kerana semuanya ditanggung oleh Karyawan.

Bagaimanakah perasaan Sheeda setelah anak kembali ke pangkuan?

Pada 28 Jun lalu, Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur membenarkan permohonan ex-parte (sebelah pihak) yang difailkan bagi mendapatkan semula hak penjagaan anak. Sebenarnya saya terpaksa mengambil tindakan selanjutnya kerana mendapat tahu sepanjang tiga bulan Fazlinda tidak bersama saya, sudah banyak kali dia tidak hadir ke sekolah tanpa sebab. Pihak sekolah telah memberitahu bahawa anak saya tidak hadir dari 13 Jun sehingga 1 Julai lalu. Kemudian dia cuma bersekolah selama dua hari dan pada 4 Julai dia tidak hadir ke sekolah semula sehingga 10 Julai.

Apakah alasan yang diberikan oleh bekas suami mengenai perkara tersebut?

Dia sekadar memberi alasan dengan mengatakan membawa Fazlinda pergi bercuti ke Pulau Langkawi. Kalau difikirkan secara logik, kenapa pula dia membiarkan Fazlinda ponteng sekolah semata-mata mahu pergi bercuti. Sebagai ibu sudah tentu saya mahukan Fazlinda berjaya dalam pelajaran memandangkan dia seorang pelajar yang pandai dan pernah mendapat keputusan 5A dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun lalu. Jadi saya sangat kecewa apabila mendapat tahu dia tidak ke sekolah dan bimbang apabila dia dibuang sekolah.

Setelah Fazlinda kembali ke pangkuan Sheeda, apakah pesanan yang ingin disampaikan kepada bekas suami?

Saya cuma mahu berpesan bahawa saya tidak akan memutuskan hubungan silaturahim antara seorang ayah dan anak. Kalau dia hendak berjumpa dengan Fazlinda pada bila-bila masa saya izinkan. Selama ini pun saya langsung tidak kisah kalau dia berjumpa dengan anak kami secara senyap-senyap. Kini, saya berharap supaya Fazlinda dapat menjalani kehidupan dan persekolahan seperti biasa.


Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN

0 komentar:

Posting Komentar