Selasa, 16 Juli 2013

Panas!! Zed Zaidi Anggap Ezany Tidak Mengenang Budi

Gambar fail menunjukkan Ezany (kiri) bertemu Zed Zaidi untuk membuat laporan masalahnya pada April lalu.



PETALING JAYA: Tuduhan pelakon Ezany Nizariff kononnya Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) tidak bertindak terhadap dua laporannya adalah satu kenyataan yang dianggap tidak mengenang budi.

Presiden Seniman, Rozaidi Abdul Jamil atau Zed Zaidi, 33, berkata, pihaknya telah berusaha untuk membantu Ezany, 40, tetapi perkara itu mestilah mengikut peraturan tertentu termasuklah mempunyai surat dengan pihak-pihak berkenaan.

“Kami sudah mendapat surat jawapan daripada pihak-pihak berkenaan untuk diaturkan temu janji bagi menyelesaikan masalah Ezany tetapi pada saat-saat akhir Ezany tidak memberi respons kepada kami sama ada untuk menyertai pertemuan itu atau pun tidak.

“Sebaliknya Ezany memberi kami pilihan untuk melantik sebuah persatuan seni lain sebagai pemerhati dalam pertemuan itu. Mana boleh macam tu? Persatuan mana yang dia nak minta tolong sekarang ini?” soal Zed Zaidi ketika menghubungi mStar Online di sini pada Selasa.

Beliau mengulas kenyataan Ezany dalam mStar Online pada Selasa yang kesal dengan tindakan Seniman kerana gagal bertindak selepas dia membuat dua laporan pada April lalu berhubung isu tunggakan hutang syarikat produksi terhadapnya dan kes kononnya dia digam oleh RTM.

Bagaimanapun maslah Ezany itu selesai apabila dia menerima semula baki hutang sebanyak RM3,500 untuk penggambaran drama Titian Dua terbitan NR Network selain salah fahamnya dengan pihak RTM juga dapat diselesaikan selepas meminta bantuan Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez.

Zed berkata, dalam kes Ezany pihaknya enggan terlalu gelojoh kerana setiap pertemuan ataupun sesuatu urusan itu perlu dibuat selepas mendapat ‘balck & white’ kerana segala urusan surat-menyurat itu akan disimpan sebagai rekod untuk mengelak apa-apa tindakan saman.

Katanya, perbuatan Ezany yang menuduh Seniman ‘tidak buat kerja’ itu benar-benar tidak profesional kerana dalam masa yang sama dia merujuk kes berkenaan kepada persatuan lain untuk meminta bantuan.

“Kami buat kerja ikut peraturan. Bukan ikut cara cowboy. Kami berniat nak bantu Ezany tetapi akhirnya dia kutuk kami balik. Dia tuduh kami tak buat kerja tetapi bila kami nak tolong, muncul pula persatuan lain yang nak tunjuk hero,” katanya.

Ditanya kenapa Seniman mengambil masa hampir tiga bulan untuk selesaikan masalah Ezany sedangkan Karyawan mengambil masa yang singkat ujar Zed, pihaknya perlu memikirkan banyak perkara agar tindakan yang hendak mereka lakukan itu tidak menyalahi undang-undang.

Malah katanya, Seniman juga perlu menyiasat terlebih dahulu pihak mana yang bersalah termasuk kontrak lakonan sebelum beberapa keputusan lain diambil dengan surat-menyurat diperlukan sebagai bukti agar tiada masalah kemudian hari.

“Salahkah kami kalau kami buat kerja ikut peraturan? Semua pihak harus faham perkara berkaitan teknikal. Kami pun takut kena saman jadi setiap tindakan itu hendaklah dengan cara yang betul. Barulah persatuan Seniman itu nampak profesional dan bukan dengan cara gelojoh,” katanya.

Jelas Zed Zaidi, selama ini sudah banyak kes melibatkan artis berjaya di selesaikan termasuklah isu pergaduhan Anzalna dan Neelofa yang antara bukti persatuan itu tidak duduk diam.


Oleh NIEZAM ABDULLAH

0 komentar:

Posting Komentar