Senin, 29 Juli 2013

Farid Kamil Letak Syarat Jika Ibu Mertua Mahu Jumpa Cucu

Gambar Farid Kamil dan Diana Danielle bersama cahaya mata mereka.


 

KUALA LUMPUR: "Kalau ingin jumpa cucu, dia perlu jumpa saya terlebih dahulu" kata pelakon dan pengarah Farid Kamil ketika mengulas tentang hubungannya dengan ibu mertua, Norsiah Ramli.

Farid, 32, berkata beberapa perkara perlu diselesaikan antara dia dan ibu mertuanya sebelum membenarkan wanita itu bertemu dengan cucu dan anaknya, Diana Danielle.

"Saya risau perkara tidak diingini berlaku, saya tidak berdendam tetapi sekadar melindungi isteri dan anak saya. Saya dapat merasakan ibu mertua saya akan melakukan sesuatu yang tidak diingini kepada mereka.

"Sebelum ini juga banyak cerita negatif tentang kami yang keluar daripada mulut ibu mertua yang menyebabkan saya lebih berhati-hati," katanya.

Farid ditemui pada majlis sidang media drama Jodoh Itu Milik Kita di sini, pada Isnin.

Tambahnya lagi, Diana turut berasa kecewa dengan sikap ibunya yang tidak merestui perkahwinan tersebut.

"Sepanjang Diana berada di Australia saya tidak pernah dengar tentang ibunya telefon atau menghubungi untuk bertanya khabar.

"Apa yang saya lihat Diana sendiri berasa sangat kecewa dengan sikap ibunya yang tidak suka kami berkahwin," ujarnya.




Gambar fail Norsiah (kiri) bersama Farid dan Diana pada majlis pernikahan pasangan itu pada tahun lalu.

 

Sebelum ini Farid pernah menyatakan perasaan marah dan kecewa terhadap ibu mertuanya melalui laman sosial twitter peribadinya.

Farid Kamil dan Diana Danielle selamat diijab kabul pada 3 November 2012 di Hotel Flamingo, Ampang.

Dalam pada itu, bercerita tentang kelahiran anak sulungnya pada 2 Julai lalu, Farid berkata dia tidak dapat mengambarkan perasaannya bergelar bapa.

"Saya sukar untuk mengambarkan perasaan saya yang gembira, banga, sedih yang bercampur baur ketika melihat bayi lelaki itu.

"Buat masa ini kami belum memberi nama dan belum pun mendaftarkan kelahiran bayi ini lagi kerana tidak digalakkan untuk membuat proses tersebut di sana," katanya.

Farid berkata, proses tersebut akan dilakukan di Malaysia selepas mereka pulang bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri ini.

Sementara itu, Farid berkata isterinya berada dalam keadaan sihat selepas bersalin dan masih berada dalam pantang.

"Diana sihat cuma selepas bersalin dia lebih emosi dan bersikap "mother blues" iaitu terlalu melindungi anaknya.

"Saya sendiri tidak dibenarkan memegambil bayi itu terlalu lama dan sentiasa takut orang ambik anaknya," katanya.

Oleh KEMALIA OTHMAN

Gambar Nora Danish Dan Nadeem Bercuti Di Thailand




Nora Danish seolah-olah mengiakan telahan peminat sejak akhir-akhir ini bahawa dia sememangnya mempunyai hubungan istimewa dengan Nadeem iaitu anak kepada Menteri Pelancongan, Dato Seri Nazri Aziz,.

Meskipun menyatakan sebelum ini Nadeem cuma kawan yang sudah lama dikenali, keadaan sekarang berbeza memandangkan mereka kini kerap dilihat berdua.

Malah Nora juga kelihatan tidak segan-segan lagi memuatnaik gambarnya bersama Nadeem di Instagram.






Mungkinkah, ini petanda dia semakin terbuka untuk mengakui hubungannya dengan Nadeem sekarang bukan lagi sekadar kawan?

Lihatlah gambar yang dirakamkan ketika mereka ke utara tanahair untuk mengunjungi keluarga seorang kru penggambaran yang meninggal dunia ini.

Seterusnya, perjalanan mereka dipanjangkan ke Thailand dan dapat dilihat Nora dan Nadeem sentiasa kelihatan berdekatan satu sama lain.

Minggu, 28 Juli 2013

Erra Fazira Minta Peserta Ratu Cantik Beragama Islam Akur Larangan

Empat gadis Islam yang telah dibatalkan penyertaan menyertai pertandingan akhir MMW2013. 

PETALING JAYA: Penyanyi Erra Fazira menasihatkan gadis beragama Islam di negara ini supaya akur dengan perundangan negara yang melarang mereka daripada menyertai pertandingan ratu cantik.

Erra yang merupakan peserta beragama Islam terakhir menyertai pertandingan ratu cantik tersebut pada 1992 berkata, dia percaya undang-undang dan peraturan yang dikuatkuasakan itu bertujuan melindungi maruah wanita Islam.

"Ketika menyertai pertandingan berkenaan, saya juga berdarah muda yang ingin mencuba sesuatu yang baharu tanpa berfikir kesannya jangka panjang.

"Tambah pula waktu itu, undang-undang tidak diperketat lagi, jadi saya pun sertainya atas kemahuan sendiri.

"Tetapi apabila pertandingan itu melarang gadis Islam untuk menyertainya, kita terpaksa akur. Siapalah kita untuk melawan undang-undang," katanya.


Erra Fazira


Tambah Erra, ketika ini terdapat banyak saluran lain yang membolehkan penyertaan gadis beragama Islam menyertai pertandingan seumpama itu dengan garis panduan yang dibenarkan.

Erra diminta mengulas mengenai pembatalan penyertaan empat peserta akhir pertandingan MMW2013 yang beragama Islam pada Selasa lalu.

Empat yang berkenaan ialah Sara Amelia Muhammad Bernard, 20, Wafa Johanna De Korte, 19, Miera Sheikh, 19 dan Kathrina Ridzuan, 20.

Keempat-empat gadis berkenaan bagaimanapun mempertikai larangan Majlis Fatwa Kebangsaan yang mengharamkan penyertaan wanita Islam dalam pertandingan tersebut.

Fatwa mengharamkan penyertaan wanita Islam dalam pertandingan ratu cantik yang diwartakan pada 8 Februari 1996 mengikut Akta Pentadbiran Undang-undang Islam Wilayah Persekutuan 1993 yang memutuskan bahawa menyertai atau menganjurkan atau menyumbang apa-apa bentuk sumbangan untuk penganjuran apa-apa pertandingan ratu cantik adalah haram dan berdosa bagi orang Islam.

Sementara itu, Erra berpendapat, penganjur pertandingan ratu cantik antarabangsa dapat memberi kelonggaran terutamanya dari segi pemakaian membabitkan wanita Islam.

"Mungkin sudah tiba masanya masyarakat luar melihat wanita Islam dalam perspektif yang berbeza dengan melonggarkan syarat-syarat penyertaan terutamanya daripada segi pemakaian.

"Ini kerana, pertandingan ratu cantik bukan dilihat hanya pada wajah dan fizikal semata-mata, tetapi juga cara pemikiran seseorang dalam melontarkan pendapat.

"Jadi, jika gadis Islam menyertainya, apa salahnya pihak penganjur menghormati mereka dengan memberi kelonggaran pemakaian yang lebih sopan. Kerana kecantikan bukan sahaja daripada luaran semata-mata, tetapi juga pemikiran kita," tegasnya.

Oleh FERIDE HIKMET ATAK

Jumat, 26 Juli 2013

Hattan Terpaksa Menunggu Selama 9 Tahun Untuk Berkahwin Semula Dengan Arianie

Datuk Hattan sah bergelar suami kepada bekas isterinya, Arianie Abidin dengan dua kali lafaz dalam majlis pernikahan serba sederhana yang diadakan di Hotel Marriot Putrajaya pada Rabu. 


PUTRAJAYA: Isteri kepada penyanyi Datuk Hattan iaitu Datin Arianie Abidin terbuka hati untuk menerima kembali suaminya itu selepas bercerai pada 2005 kerana tersentuh dengan kesungguhan lelaki itu menambat kembali hatinya sejak sembilan tahun lalu.

Arianie, 42, berkata, walaupun mengambil masa yang lama untuk kembali sebagai suami isteri namun dia menganggap ia sebagai ketentuan Allah selain perpisahan itu banyak mengajar mereka tentang erti kehidupan.

"Kesungguhannya untuk memikat hati saya sejak sembilan tahun lalu akhirnya menyentuh hati saya walaupun saya mengambil masa yang lama untuk menerimanya semula.

"Bak kata pepatah kalau sudah jodoh tidak akan ke mana-mana dan saya berharap ia akan berkekalan sehingga akhir hayat kami," katanya ketika ditemui selepas majlis akad nikah yang berlangsung di Hotel Marriot Putrajaya di sini, Rabu.

Hattan dan Arianie sah bergelar suami isteri dengan dua kali lafaz dalam majlis pernikahan serba sederhana yang dihadiri kira-kira 200 tetamu.



Pasangan mempelai mengucup anak lelaki tunggal mereka iaitu Adam Eiman.
 

Hattan atau nama sebenarnya Mohd Shukri Sahabuddin, 49, dan Arianie dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Nikah Cerai dan Rujuk Putrajaya, Abdul Halim Mat Isa pada pukul 6 petang.

Ia adalah perkahwinan ketiga buat Hattan dan kali kedua dengan Arianie.

Pasangan itu pernah berkahwin pada 17 Disember 1996 sebelum bercerai talak satu secara rasmi pada 10 Mac 2005 di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya, Selangor.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak lelaki Adam Eiman yang sekarang berusia 15 tahun.

Penyanyi dari Seri Menanti, Negeri Sembilan itu juga pernah berkahwin untuk kali kedua dengan Noorfarashikin Othman pada 11 November 2011 tetapi berpisah dua bulan kemudian.



 Antara rakan artis yang turut hadir meraikan majlis pernikahan Hattan dan Arianie.


Dalam perkembangan sama, Hattan berkata, beliau bersyukur kerana doanya untuk bersatu dengan Arianie akhirnya termakbul.

Jelas Hattan, mereka memilih untuk disatukan pada bulan Ramadan kerana mahu mengambil keberkatan bulan mulia umat Islam itu.

"Sukar saya nak gambarkan dengan kata-kata kegembiraan saya kerana doa saya selama bertahun-tahun akhirnya termakbul.

"Sampai saya tersasul semasa akad nikah kerana berasa sebak dan gembira pada masa sama," katanya.

Dalam perkembangan sama, anak tunggal pasangan itu melahirkan rasa gembira dengan penyatuan kedua ibu bapanya.



Hattan mengucup dahi isterinya semasa upacara membatalkan air sembahyang.
 

Adam berkata, walaupun sudah terbiasa tinggal berasingan dengan mereka dia bagaimanapun tidak sabar untuk memulakan kehidupan baru dalam sebuah keluarga.

"Saya sebenarnya tidak tahu ibu dan ayah akan berkahwin semula. Dapat tahu pun menerusi laporan akhbar dan apabila mereka bawa saya untuk membeli cincin kahwin.

"Saya bersyukur dengan penyatuan mereka dan berharap akan mendapat seorang adik selepas ini," katanya.

Sementara itu, Hattan dan Arianie tidak merancang untuk mendapatkan cahaya mata buat masa ini namun tidak menolak sekiranya dikurniakan Allah.

Pasangan itu juga memberitahu akan membawa anak mereka bercuti ke London hujung tahun ini selain tidak sabar untuk berhari raya sebagai keluarga.

Oleh MOHD AL QAYUM AZIZI

Minggu, 21 Juli 2013

Judika Dipaksa Turun Berat Badan Sebelum Kahwin


Judika dan bakal isterinya, Duma Riris.




PENYANYI terkenal Indonesia, Judika telah dipaksa untuk menurunkan berat badannya sebanyak beberapa kilo sebelum hari perkahwinannya dengan kekasihnya, Duma Riris.

Judika berkata, dia dan bakal isterinya akan lebih kerap melakukan senaman bagi memastikan mereka kelihatan segak dan bergaya pada hari bahagia itu nanti.

"Semua ini gara-gara baju kahwin kami tidak muat ketika mencubanya baru-baru ini dan sesuatu perlu dilakukan untuk memastikan kami kelihatan hebat pada majlis itu nanti.

"Saya dan Duma akan bersenam lebih giat dan akan lebih banyak bermain bola selepas ini bagi mengurangkan berat badan," katanya.

Dalam pada itu, Judika berkata, persiapan perkahwinannya sudah 90 peratus siap dan seperti lelaki lain dia mengakui berdebar menunggu hari bahagia tersebut.

Ashraf Muslim Dakwa Bekas Tunang Wan Sakinah Sebagai 'Pembohong'

GAMBAR pernikahan antara Ashraf dengan Wan Sakinah di Thailand pada 7 Julai lalu mula tersebar di internet.
 

RAMADAN tahun ini barangkali Ramadan paling banyak onak yang harus ditelan oleh pelakon Ashraf Muslim, 32.

Semuanya gara-gara kisah sensasi perkahwinan keduanya yang terbongkar selepas isteri pertamanya, Dayana Lokman, 26, menemui butiran dan dokumen perkahwinannya bersama Wan Sakinah Ahmad Saburi, 29, di Bangkok, Thailand di dalam beg pakaiannya minggu lalu.

Sekadar rekod, Ashraf dan isteri pertamanya, Dayana telah berkahwin pada tahun 2011 di Mekah manakala dia kemudian berkahwin secara senyap di Thailand dengan Wan Sakinah pada 7 Julai lalu, sehari sebelum Ramadan.

Terus-menerus menerima tohmahan dan persepsi yang pelbagai daripada masyarakat, Ashraf bagaimanapun sedikit pun tidak lari daripada dunia realiti.

Namun, akuinya, sesekali dia mengelak untuk memberi kenyataan kepada pihak media kerana bimbang disalah tafsir.

Bagaimanapun, untuk isu seperti yang ditimbulkan oleh seorang lelaki yang mendakwa dirinya sebagai bekas tunang isteri keduanya, Wan Sakinah, dia perlu menjawab hal tersebut.



ASHRAF mengakui yang isteri keduanya, Wan Sakinah pernah putus tunang, namun ia tiada kaitan dengan dirinya.
 

Bukan untuk menegakkan benang yang basah, sebaliknya Ashraf tampil menafikan tohmahan dia sebagai penyebab lelaki itu dan Wan Sakinah putus tunang.

Malah, Ashraf meminta agar masyarakat tidak terlalu ikut campur dalam urusan rumah tangganya. Sebagai seorang lelaki yang bertanggungjawab dan berani untuk berpoligami, dia mahu meledani segala kemungkinan dalam kehidupan dan rumah tangganya sendiri.

Ashraf menjawab beberapa soalan yang diajukan oleh Kosmo! kepadanya sambil menegaskan, dia tidak pernah menjalin hubungan sulit bersama Wan Sakinah sewaktu wanita itu sedang dalam tempoh bertunang.

Kosmo!: Bagaimanakah dengan keadaan Ashraf sekarang?

ASHRAF: Alhamdulillah, walaupun masih ada yang berterusan bercakap tentang saya, kehidupan saya sangat tenang dan jujurnya juga, dalam situasi sekarang, saya perlu lebih banyak bersabar.



WAN SAKINAH, 29, yang kini sah menjadi isteri kedua Ashraf mula diburu kontroversi termasuk ada pihak yang mula bercerita tentang kisah lampau hidupnya.
 

Belum pun reda isu anda berkahwin dua, kini timbul pula isu baharu. Ahad lalu, seorang lelaki mendakwa dirinya sebagai bekas tunang kepada isteri kedua anda, Wan Sakinah. Dia memberitahu pertunangan mereka putus 25 hari sebelum mereka berkahwin kerana Wan Sakinah menjalinkan hubungan sulit bersama anda. Boleh anda jelaskan tentang pertuduhan tersebut?

Pembohong lelaki itu! Mereka putus tunang tiada kena mengena dengan saya! Itu (putus tunang) cerita lama mereka dan tak ada kena mengena dengan saya. Saya sedih apabila perkara sebegini timbul.

Bagaimana boleh anda simpulkan tentang terlalu banyak spekulasi yang melanda anda sekarang terutama apabila ada individu seperti lelaki tersebut yang muncul mengaku sebagai bekas tunang isteri kedua anda?

Apa yang boleh saya katakan di sini, saya sudah pun berkahwin, jadi tak perlulah ungkit cerita lama seperti ini. Jangan juga cari jalan atau ambil kesempatan untuk jatuhkan maruah kami semua. Apabila terlalu ramai yang cuba ambil 'bahagian' dalam hal rumah tangga saya, saya jadi sedih.

Apa yang ingin anda sampaikan kepada masyarakat, terutama kepada segelintir pihak yang suka mereka-reka cerita tentang perkahwinan kedua anda?

Ini hal rumah tangga saya. Dengan rendah hati, saya harap semua pihak dapat menghormati saya dan tidak masuk campur dalam hal ini.

OLEH HARYATI KARIM

Wan Sakinah Baru Putus Tunang 25 Hari, Sebelum Bernikah Dengan Ashraf Muslim

Gambar majlis pernikahan Ashraf Muslim dengan isteri keduanya, Wan Sakinah

  

Melalui rancangan Melodi TV3, bekas tunang Wan Sakinah Ahmad Saburi, 29, yang tidak dinamakan telah muncul menerangkan tentang pertunangannya dengan wanita itu yang sebelum ini terputus gara-gara Ashraf Muslim, 32, menjalinkan hubungan dengannya.

Beliau turut menambah yang hubungan Ashraf dengan Sakinah sudah berjalan sewaktu pelakon itu masih bergelar tunang kepada Dayana.

Rasanya hubungan antara Sakinah dengan Ashraf Muslim bermula bukan sembilan bulan selepas Ashraf berkahwin, malah sebelum dan semasa Ashraf dalam pertunangan dengan tunangnya (Dayana) dan saya dan Sakinah masih bertunang.

Pada masa itu saya memang frust, kerana saya sudah hampir berkahwin. Saya tidak boleh menafikan yang pertunangan kami terputus kerana dia (Sakinah) ada hubungan dengan Ashraf Muslim.

Alhamdulillah, apa yang Ashraf Muslim nafikan sebelum ini akhirnya terbongkar. Apa yang pernah saya suarakan sebelum ini dipersoalkan oleh orang luar sama ada saya memfitnah, tapi sekarang sudah terbukti.



Gambar bekas tunang Wan Sakinah semasa ditemubual dalam rancangan 'Melodi'


Sambil menyuarakan simpatinya pada Dayana, bekas tunang Wan Sakinah turut memberitahu sebelum ini apa yang diperkatakan olehnya tentang Ashraf menjalinkan hubungan dengan tunangnya tidak dipercayai orang kerana mereka menganggap Ashraf seperti ustaz.

Beritahunya lagi, pertunangan dia dan Sakinah terputus 25 hari sebelum mereka melangsungkan perkahwinan.

Mendoakan kebahagiaan mereka (Ashraf dan Sakinah) sehingga ke akhir hayat, bekas tunang Wan Sakinah turut menasihatkan Ashraf agar tidak lari dan bersikap seperti lelaki budiman kerana apa yang dilakukan (berpoligami) tidak salah. Sebaliknya Ashraf patut berterus terang menghadapi pihak media dan orang ramai.


Sabtu, 20 Juli 2013

Hubungan Abby Abadi Dan Suaminya Bermula Sebagai ‘Adik Dan Kakak’


   


Melihat gambar-gambar dirakamkan, Arbaiyah Abdul Manan atau Abby, 35, nampak makin gembira dan berseri-seri sejak diikat sebagai isteri oleh pemuda kacak, Muhammad Noor Farhan Che Bakar, 24.

Meskipun enggan mendedahkan lebih lanjut tentang pernikahannya yang dikatakan berlangsung di Thailand, sekurang-kurangnya Abby sudah memberikan tarikh majlis kenduri kahwinnya kelak.

Jika tiada aral, pasangan yang diijabkabul pada 9 Julai lalu ini akan mengadakan majlis resepsi mereka pada 31 Ogos akan datang.

Mengulas detik awal perkenalan dengan suaminya yang berasal dari Kampung Kok Pasir, Tumpat, Kelantan, Abby menyatakan mereka mula berkenalan di sebuah pasar raya.
Daripada bertukar pandangan, mereka tertarik pada satu sama lain lalu berhubung beberapa kali selepas itu.

Abby dipetik bercerita kepada sebuah akhbar tempatan:

“Ketika itu kami membahasakan diri adik dan kakak. Dalam masa dua minggu berkawan, dia menyuarakan hasrat hati mahu menjadikan saya teman wanitanya, tetapi saya kata dalam Islam mesti ada hubungan yang sah jika tidak, hubungan itu hukumnya haram.

Terus dia melamar saya dan saya kata kepadanya, ‘beraninya awak melamar saya’.”

Bagaimanapun akur bahawa jodohnya dan Farhan sudah tertulis di Loh Mahfuz, Abby akhirnya menerima lamaran pemuda berkenaan semata-mata kerana Allah.

Mungkin, itu solusi terbaik bagi pasangan ini bagi mengelak fitnah dan perkara tidak elok sementelah Farhan difahamkan banyak membantu Abby di butik muslimah miliknya yang terletak di Taman Melawati, Syuhada Kasih Abadi.

Dalam pada itu, Abby dilihat agak sibuk kerana turut turun padang membantu jentera pilihanraya PAS menjelang PRK DUN Kuala Besut, 24 Julai ini.

Antaranya semalam, Abby melelong beberapa pakaian miliknya di Karnival ‘Jom Bersama Che Long’ di Kampung Baharu.

Semua pakaian yang dilelongnya habis dibeli malah sepasang kurung hijau bersulam telah dibida bekas Exco Pemuda PAS Kelantan, Dr Rosli Alani Abd Kadir pada harga RM1,010.

Difahamkan, hasil jualan itu akan disumbangkan kepada dana jentera pilihan raya PAS.









Oleh: REM RAMZI


Jumat, 19 Juli 2013

Tahniah!! Abby Abadi Selamat Melangsungkan Perkahwinan

 Suami baru Abby Abadi adalah pembantu butiknya sendiri yang dikenali dengan nama Farhan, berusia 20-an dan berasal dari negeri Kelantan.



Gambar Abby Abadi dan suaminya.

 

SHAH ALAM - Pelakon dan penyanyi, Abby Abadi hari ini telah mengesahkan bahawa beliau telah melangsungkan perkahwinan lebih seminggu lalu.

“Ya memang betul saya sudah berkahwin,” jawapnya ringkas ketika dihubungi Sinar Harian Online, sebentar tadi.

Abby atau nama sebenarnya,  Arbaiyah Abdul Manan sebelum ini pernah mendirikan rumahtangga bersama pelakon, Norman Hakim pada 2002 tetapi bercerai pada 2008.

Mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata.

Ketika diminta mengulas lanjut mengenai berita pernikahannya itu, Abby enggan mengulas lanjut.

“Pasal perkahwinan itu, saya tidak boleh ulas lanjut lagi.

"Nanti saya beritahu perkembangan kerana saya sedang memandu ke Kuala Besut,” katanya lagi.




Sementara itu, melalui laman mikro Twitternya, Abby berkata, beliau telah sah menjadi isteri.

“Dipendekkan cerita, sebenarnya sudah 12 hari dia sah menjadi suami saya.

"Maaf sebab maklumkan lambat,” katanya.


OLEH MUHAMMAD SHAMSUL ABD GHANI
Foto Ihsan Instagram Abby Abadi


Kamis, 18 Juli 2013

Bapa Mertua Kecewa Ashraf Muslim Kahwin Dua Di Thailand

 Bapa mertua Ashraf Muslim, Lokman Abdul Hamid (kiri).



PETALING JAYA: Bapa mertua kepada pelakon dan pengamal perubatan Islam, Ashraf Muslim kecewa dengan tindakan pelakon itu yang membohongi ahli keluarga termasuk isterinya, Noor Dayana Lokman apabila bernikah kali kedua dengan bekas kru televisyen di Thailand pada 7 Julai lalu, tiga hari menjelang Ramadan.

Harian Metro melaporkan, Lokman Abdul Hamid, 54, yang juga pengasas Pusat Perubatan Islam al-Hidayah turut mempertikaikan tindakan Ashraf yang dianggap terburu-buru bernikah dengan Wan Sakinah Ahmad Saburi, 29, tanpa menunggu keputusan mahkamah berhubung permohonan kebenaran poligami yang difailkan di Mahkamah Tinggi Syariah, Kuala Lumpur pada 9 April lalu.

"Kami sebenarnya kesal kerana dia tidak maklumkan pada kami termasuk isterinya sendiri. Kalau mahkamah beri keizinan berpoligami, kami reda dan terima keputusan. "Ini belum lagi mahkamah buat keputusan, dia telah bernikah di Thailand,” ujar Lokman.

Tambah Lokman, dia juga tidak dapat menerima alasan menantunya berkahwin lagi disebabkan belum dikurniakan anak.



Foto persandingan Ashraf bersama isterinya Noor Dayana pada 2011.

Lebih mengecewakan, apabila Ashraf tidak memaklumkan kepada Dayana bahawa tujuannya ke Thailand adalah untuk bernikah.

Mengulas mengenai penerimaan Dayana, Lokman berkata anaknya tidak rela untuk dimadukan dan dia tidak tahu apa tindakan Dayana selepas ini dan tidak masuk campur.

“Daripada mula pun anak saya tidak rela atau reda. Apa yang dikata seperti dalam surat khabar yang anak saya reda, itu pun bukan dari anak saya. Itu satu penipuan yang besar,” katanya.

Menurutnya, Ashraf mula mengenali Wan Sakinah ketika wanita itu bekerja di sebuah stesen televisyen dan ketika itu Ashraf masih bertunang dengan Dayana.

Bercerita rentetan kes itu, Lokman memberitahu pada mulanya Dayana memohon mahkamah menangguhkan kes itu kerana dia tidak mempunyai peguam.

Justeru mahkamah menetapkan tarikh pada Rabu untuk mendengar permohonan itu bagaimanapun sebaliknya yang terjadi.

Terdahulu Ashraf hadir ke Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur pada Rabu bagi menarik balik kebenaran berpoligami selepas mengaku bernikah di Thailand kali kedua dengan Wan Sakinah.

Hakim Syarie Muhammad Abdul Karim membenarkan permohonan Ashraf itu dengan perintah kos mahkamah dibayar sebanyak RM8,000 kepada isteri pertamanya.(Mstar)

Rabu, 17 Juli 2013

Pelakon Ashraf Muslim Mengaku Bernikah Kali Kedua dengan Wan Sakinah di Thailand

 Gambar Ashraf Muslim dan Wan Sakinah


 
KUALA LUMPUR: Pelakon Ashraf Muslim sebenarnya telah pun bernikah buat kali kedua dengan bekas kru produksi televisyen, Wan Sakinah Ahmad Saburi di Thailand, 7 Julai lalu. Perkara ini diketahui apabila Ashraf hari ini hadir ke Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur.

Mahkamah Tinggi Syariah di sini sebentar tadi membenarkan pelakon dan pengamal perubatan Islam, Ashraf Muslim menarik balik permohonan berpoligami selepas Ashraf mengaku bernikah kali kedua dengan Wan Sakinah Ahmad Saburi, 29, di Thailand pada Ahad lalu.

Hakim Syarie Muhammad Abdul Karim Wahab turut memerintahkan Ashraf atau nama sebenarnya Mohd Ashraf Muslim, 32, membayar kos sebanyak RM8,000 kepada isteri pertamanya, Noor Dayana Lokman, 26, sebagai kos mahkamah.


Selamat pengantin baru di ucapkan kepada Ashraf Muslim dan Wan Sakinah. Semoga perkahwinan mereka dirahmati dan diberkati. Pesanan kepada Ashraf Muslim, janganlah lupakan tanggungjawab anda kepada isteri pertama dan sentiasa berlaku adil.

Selasa, 16 Juli 2013

Panas!! Zed Zaidi Anggap Ezany Tidak Mengenang Budi

Gambar fail menunjukkan Ezany (kiri) bertemu Zed Zaidi untuk membuat laporan masalahnya pada April lalu.



PETALING JAYA: Tuduhan pelakon Ezany Nizariff kononnya Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) tidak bertindak terhadap dua laporannya adalah satu kenyataan yang dianggap tidak mengenang budi.

Presiden Seniman, Rozaidi Abdul Jamil atau Zed Zaidi, 33, berkata, pihaknya telah berusaha untuk membantu Ezany, 40, tetapi perkara itu mestilah mengikut peraturan tertentu termasuklah mempunyai surat dengan pihak-pihak berkenaan.

“Kami sudah mendapat surat jawapan daripada pihak-pihak berkenaan untuk diaturkan temu janji bagi menyelesaikan masalah Ezany tetapi pada saat-saat akhir Ezany tidak memberi respons kepada kami sama ada untuk menyertai pertemuan itu atau pun tidak.

“Sebaliknya Ezany memberi kami pilihan untuk melantik sebuah persatuan seni lain sebagai pemerhati dalam pertemuan itu. Mana boleh macam tu? Persatuan mana yang dia nak minta tolong sekarang ini?” soal Zed Zaidi ketika menghubungi mStar Online di sini pada Selasa.

Beliau mengulas kenyataan Ezany dalam mStar Online pada Selasa yang kesal dengan tindakan Seniman kerana gagal bertindak selepas dia membuat dua laporan pada April lalu berhubung isu tunggakan hutang syarikat produksi terhadapnya dan kes kononnya dia digam oleh RTM.

Bagaimanapun maslah Ezany itu selesai apabila dia menerima semula baki hutang sebanyak RM3,500 untuk penggambaran drama Titian Dua terbitan NR Network selain salah fahamnya dengan pihak RTM juga dapat diselesaikan selepas meminta bantuan Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez.

Zed berkata, dalam kes Ezany pihaknya enggan terlalu gelojoh kerana setiap pertemuan ataupun sesuatu urusan itu perlu dibuat selepas mendapat ‘balck & white’ kerana segala urusan surat-menyurat itu akan disimpan sebagai rekod untuk mengelak apa-apa tindakan saman.

Katanya, perbuatan Ezany yang menuduh Seniman ‘tidak buat kerja’ itu benar-benar tidak profesional kerana dalam masa yang sama dia merujuk kes berkenaan kepada persatuan lain untuk meminta bantuan.

“Kami buat kerja ikut peraturan. Bukan ikut cara cowboy. Kami berniat nak bantu Ezany tetapi akhirnya dia kutuk kami balik. Dia tuduh kami tak buat kerja tetapi bila kami nak tolong, muncul pula persatuan lain yang nak tunjuk hero,” katanya.

Ditanya kenapa Seniman mengambil masa hampir tiga bulan untuk selesaikan masalah Ezany sedangkan Karyawan mengambil masa yang singkat ujar Zed, pihaknya perlu memikirkan banyak perkara agar tindakan yang hendak mereka lakukan itu tidak menyalahi undang-undang.

Malah katanya, Seniman juga perlu menyiasat terlebih dahulu pihak mana yang bersalah termasuk kontrak lakonan sebelum beberapa keputusan lain diambil dengan surat-menyurat diperlukan sebagai bukti agar tiada masalah kemudian hari.

“Salahkah kami kalau kami buat kerja ikut peraturan? Semua pihak harus faham perkara berkaitan teknikal. Kami pun takut kena saman jadi setiap tindakan itu hendaklah dengan cara yang betul. Barulah persatuan Seniman itu nampak profesional dan bukan dengan cara gelojoh,” katanya.

Jelas Zed Zaidi, selama ini sudah banyak kes melibatkan artis berjaya di selesaikan termasuklah isu pergaduhan Anzalna dan Neelofa yang antara bukti persatuan itu tidak duduk diam.


Oleh NIEZAM ABDULLAH

Iqram Dinzly Terkilan Dengan Pertunangan Fouziah Gous

Iqram Dinzly dan Fouziah Gous mempunyai perhubungan yang akrab.



PETALING JAYA: Pelakon Iqram Dinzly mengakui terkejut apabila mendapat tahu teman karibnya iaitu Fouziah Gous bertunang kerana tidak pernah mengetahui aktres itu sebenarnya mempunyai kekasih hati.

Iqram atau nama sebenarnya Muhammad Iqram Dinzly Muhammad Saipuddin, 32, berkata, dia lebih terkilan apabila berita pertunangan itu diketahui menerusi laporan media selain hanya dimaklumkan kira-kira dua minggu sebelum majlis berlangsung.

"Saya ralat melihat cara dia (Fouziah) seperti tergesa-gesa untuk bertunang. Benda-benda penting macam ini dia tidak beritahu pun lebih awal kepada saya.

"Orang tahu macam mana keakraban perhubungan kami, tetapi saya hanya diberitahu dua minggu sebelum majlis. Itu pun saya dapat tahu lebih awal selepas membaca laporan di majalah.

"Sebenarnya saya tidak mahu komen panjang tentang hal ini kerana apa yang dah berlaku terlalu merumitkan. Jadi lebih baik saya berdiam," katanya yang dihubungi mStar Online di sini pada Selasa.



 Fouziah dan Zhafran bertunang pada 1 Jun lalu.


Fouziah atau nama sebenarnya Nor Fouziah Mohd Gous, 30, mengikat tali pertunangan dengan Md Zhafran Md Yusof, 30, dalam satu majlis yang diadakan di Restoran Asmara Penchala, dekat sini pada 1 Jun lalu.

Tambah Iqram, sejak pertunangan itu, dia dan Fouziah tidak lagi berhubung.

Bagaimanapun Iqram berharap, kenyataannya itu tidak memberi persepsi negatif kononnya dia tidak gembira dengan pertunangan aktres itu.

"Saya tengok, majlis pertunangan mereka sangat meriah. Jadi saya harap perhubungan suami-isteri yang bakal disatukan nanti juga akan meriah dan kekal sehingga akhir hayat.

"Apa yang telah berlaku ini juga membuatkan saya berasa syukur, Alhamdulillah," ujarnya.

Dalam pada itu, Iqram turut menafikan dakwaan yang kononnya dia makan hati dengan pertunangan Fouziah sehingga membuatkan berat badannya turun mendadak.

"Rasa nak tergelak pun ada apabila orang cakap begitu. Mana ada, berat saya susut sebab terlalu sibuk bekerja.

"Pada Februari lalu, selama dua bulan saya menjalani penggambaran drama berjudul Kes 253 di Singapura. Mungkin kerana itu juga membuatkan berat saya turun," tuturnya.

Oleh FERIDE HIKMET ATAK

Gambar Majlis Pertunangan Raja Azmi Dan Eddie



Raja Azmi selamat melangsungkan pertunangan dengan pemain bes kumpulan rock 1990-an iaitu CRK, Mohd Eddie Ghazali, 45, di kediaman Raja Azmi di Ukay Perdana, semalam.



AMPANG: Produser filem Raja Azmi mengakui dia tidak mempunyai sebarang masalah apabila kontroversi kisah kehidupannya sering menjadi berita utama media.

Malah Raja Azmi atau nama sebenarnya Raja Azmi Raja Sulaiman, 54, berkata, dia suka kisahnya didedah kerana ia dapat memberi pengajaran buat masyarakat terutamanya golongan wanita.

"Mungkin ada selebriti yang tidak suka hal peribadi menjadi kontroversi tetapi saya pula suka apabila kisah kehidupan saya didedahkan umum.

"Jadi, masyarakat boleh menilai dan menjadikan kisah saya sebagai pengajaran sendiri. Yang baik jadi teladan, yang buruk jangan diikutkan," katanya.


Raja Azmi mahu kisah kehidupannya menjadi pengajaran buat semua orang terutamanya golongan wanita.
 
Raja Azmi ditemui selepas majlis pertunangannya dengan pemain bes kumpulan rock 1990-an iaitu CRK, Mohd Eddie Ghazali, 45, di kediaman wanita itu di Ukay Perdana, di sini pada Isnin.

Tambah Raja Azmi, dia juga berharap, hebahan majlis pertunangannya dapat memberi keyakinan buat golongan wanita seusianya agar tidak rasa bersalah atau malu untuk berkahwin lagi.

Dalam pada itu, Raja Azmi juga turut sudah bersedia sekiranya pertunangannya itu dijadikan bahan lawan masyarakat yang dianggap tidak sesuai untuk bertunang pada usia sepertinya.

"Saya tak kisahlah apa orang nak kata sama ada saya perempuan miang atau apa. Tetapi saya lakukan semua ini atas permintaan anak-anak yang mahu mengikut adat Melayu sebelum berkahwin.

"Lagipun apabila sudah berstatus tunangan orang, perilaku kita mungkin akan berubah dan terserlahlah perangai masing-masing. Sekurang-kurangnya, sebelum berkahwin kita akan lebih mengenali hati budi pasangan kita.






“Setakat ini saya sudah bersedia untuk melalui apa-apa sahaja rintangan. Moga ia dipermudahkan," ujarnya.

Eddie sudah pun menduda sejak lima tahun lalu selepas isterinya meninggal dunia pada Januari 2008.

Hasil perkahwinan pertama selain Daniel, Eddie memiliki seorang lagi anak bernama Mohd Effy,19.

Manakala Raja Azmi pula mempunyai tiga orang anak iaitu Puteri Suaida, 24, dan Megat Deli, 19, hasil perkahwinannya dengan jurulatih badminton negara, Jalani Mohamad Sidek. Mereka bercerai dengan talak satu pada 27 Jun 2012.

Sementara itu, Eddie pula berkata, selepas lima tahun menduda, dia gembira akhirnya menemui wanita seperti Raja Azmi yang mempunyai sifat keibuan dan pada masa sama seorang yang 'gila-gila'.

"Bagi saya, kehadirannya dalam hidup saya adalah satu keajaiban. Sifat peribadi kami memang sangat berbeza di mana dia seorang yang ceria dan peramah manakala saya pula lebih pendiam. Mungkin perbezaan itu membuatkan kami saling memerlukan," tuturnya.

Pasangan tersebut merancang akan bernikah pada 15 September depan.


Oleh FERIDE HIKMET ATAK

Senin, 15 Juli 2013

Fasha Sandha Bawa Anak Berniaga Bazar Ramadan

   

Selain solat Tarawikh, kedatangan bulan Ramadan juga sering dikaitkan dengan Bazar Ramadan yang semakin mendapat tempat di kalangan penduduk di Malaysia.

Terbaru, pelakon popular Fasha Sandha turut meluangkan masa membantu ibunya berniaga Laksa Utara dan Soto di sebuah bazaar, baru-baru ini.

Apa yang menariknya, Fasha turut membawa sekali anaknya, Putra Rayfal Ramli yang berusia tiga bulan untuk bersama-sama merasai kemeriahan berniaga sempena bulan mulia ini.



Kebanyakan peminat yang pernah merasai hasil air tangan ibu Fasha melahirkan perasaan teruja mereka di atas layanan mesra yang telah diberikan serta memuji masakan ibu kepada aktres tersebut.



Kredit Foto: Instagram Fasha Sandha


Jumat, 12 Juli 2013

Penyanyi Dangdut Serbu Rumah Bekas Suami

Sheeda


TANGGAL 1 Ramadan ternyata memberi kelegaan buat penyanyi dangdut Sayyida Beevi M. Shahul Hameed, 50, atau lebih popular dengan panggilan Sheeda apabila anak bongsunya, Nur Fazlinda Ahmad Fazli, 13, kembali ke pangkuannya.

Sebelum ini, Sheeda terpaksa berpisah buat sementara dengan anak daripada perkahwinan keduanya bersama Ahmad Fazli Mohammad, 38, apabila bekas suaminya itu menghalangnya untuk berjumpa dengan Fazlinda.

Sehinggakan penyanyi yang dikenali menerusi lagu Angkat Kaki itu mengambil keputusan nekad untuk menyerbu rumah bekas suaminya yang terletak di Cheras, Kuala Lumpur dengan bantuan beberapa orang anggota polis.

Selepas serbuan tersebut berakhir, Kosmo! sempat menemu bual Sheeda yang ternyata kelihatan gembira di samping anaknya itu setelah tiga bulan berpisah.


Sheeda dan Fazlinda menunjukkan dua surat daripada pihak sekolah yang mengesahkan ketidakhadiran Fazlinda ke sekolah masing-masing pada tarikh dari 13 Jun hingga 1 Julai dan dari 4 hingga 10 Julai lalu.

 
Kosmo!: Bolehkah ceritakan tentang situasi sebenar mengenai kejadian yang menimpa anak Sheeda?

SHEEDA: Pada 4 Mei lalu saya dalam perjalanan pulang ke kampung di Kelantan bersama anak bongsu saya. Kemudian bekas suami saya, Fazli mahu berjumpa untuk berbincang mengenai sesuatu mengenai Fazlinda dan kami bertemu di sebuah restoran di Sri Gombak, Selangor. Dalam pertemuan itu berlaku sedikit pertengkaran kecil sehingga saya terpaksa menyerahkan anak saya kepada Fazli. Sepanjang perjalanan pulang ke kampung, saya menangis tidak henti-henti kerana hasrat untuk bercuti bersama anak tidak tercapai.

Apakah yang berlaku selepas pertemuan tersebut?

Saya amat sedih dan terkilan apabila bekas suami tidak lagi mengizinkan saya untuk bertemu dengan Fazlinda. Sepanjang tempoh tiga bulan kami ada berbincang supaya anak saya dikembalikan semula, tetapi Fazli berkeras tidak membenarkannya. Ibu mana yang tidak sedih apabila tidak dibenarkan untuk bertemu dengan anak sendiri. Lagipun, saya yang telah membesarkannya selama 13 tahun tanpa meminta sebarang bantuan daripada bekas suami.

SHEEDA bersyukur Fazlinda kini kembali ke pangkuannya.

Apakah tindakan Sheeda selanjutnya?

Kecewa dengan situasi yang berlaku saya mengambil keputusan untuk membuat aduan kepada Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) dan berharap mereka mendapat bantuan yang sewajarnya. Setelah saya mengemukakan aduan kepada Karyawan menerusi Datuk Freddie Fernandez, mereka mencadangkan supaya perkara ini dibawa ke mahkamah dan telah memperkenalkan saya dengan seorang peguam syarie iaitu Fakhrul Azman Abu Hassan.

Apa yang saya tahu kos untuk mendapatkan khidmat peguam seperti Fakrul Azman ini bukanlah murah, tetapi saya amat terharu dan berterima kasih kerana tidak perlu mengeluarkan satu sen pun kerana semuanya ditanggung oleh Karyawan.

Bagaimanakah perasaan Sheeda setelah anak kembali ke pangkuan?

Pada 28 Jun lalu, Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur membenarkan permohonan ex-parte (sebelah pihak) yang difailkan bagi mendapatkan semula hak penjagaan anak. Sebenarnya saya terpaksa mengambil tindakan selanjutnya kerana mendapat tahu sepanjang tiga bulan Fazlinda tidak bersama saya, sudah banyak kali dia tidak hadir ke sekolah tanpa sebab. Pihak sekolah telah memberitahu bahawa anak saya tidak hadir dari 13 Jun sehingga 1 Julai lalu. Kemudian dia cuma bersekolah selama dua hari dan pada 4 Julai dia tidak hadir ke sekolah semula sehingga 10 Julai.

Apakah alasan yang diberikan oleh bekas suami mengenai perkara tersebut?

Dia sekadar memberi alasan dengan mengatakan membawa Fazlinda pergi bercuti ke Pulau Langkawi. Kalau difikirkan secara logik, kenapa pula dia membiarkan Fazlinda ponteng sekolah semata-mata mahu pergi bercuti. Sebagai ibu sudah tentu saya mahukan Fazlinda berjaya dalam pelajaran memandangkan dia seorang pelajar yang pandai dan pernah mendapat keputusan 5A dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun lalu. Jadi saya sangat kecewa apabila mendapat tahu dia tidak ke sekolah dan bimbang apabila dia dibuang sekolah.

Setelah Fazlinda kembali ke pangkuan Sheeda, apakah pesanan yang ingin disampaikan kepada bekas suami?

Saya cuma mahu berpesan bahawa saya tidak akan memutuskan hubungan silaturahim antara seorang ayah dan anak. Kalau dia hendak berjumpa dengan Fazlinda pada bila-bila masa saya izinkan. Selama ini pun saya langsung tidak kisah kalau dia berjumpa dengan anak kami secara senyap-senyap. Kini, saya berharap supaya Fazlinda dapat menjalani kehidupan dan persekolahan seperti biasa.


Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN

Kamis, 11 Juli 2013

Pelakon Wanita 80-an, Putri Salbiah Dituduh Menipu Dan Memalsukan Kad Pengenalan




KUALA LUMPUR – Seorang pelakon popular 80-an didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas empat pertuduhan menipu dengan menyamar selain dua tuduhan memalsukan kad pengenalan, tiga tahun lalu.

Putri Salbiah Megat Razalli, 49, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan menipu Ng Miow Hia, 48, dalam satu urus niaga pembelian tanah dengan memperkenalkan dua individu sebagai pemilik tanah di Mukim Rim di Jasin, Melaka.

Dia didakwa telah memperkenalkan Ng kepada Majid Senan dengan nama Ahmad SK Duis dan Yang Azizah Mohamed Yaccob dengan nama Sipah Duis @ Sipak Duez semasa bertemu di sebuah restoran di KLCC pada 1 April 2010.

Putri Salbiah juga dituduh mengulangi perbuatan itu di lokasi sama pada 23 Jun 2010.

Empat kesalahan tersebut dilakukan di bawah Seksyen 419 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun, denda atau kedua-duanya sekalinya jika disabitkan kesalahan.

Putri Salbiah juga didakwa memalsukan kad pengenalan untuk kegunaan Majid dan Yang Azizah dengan nama palsu mereka di antara Januari dan April 2010.

Kesalahan di bawah Peraturan (25)(1)(j) Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) itu jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara maksimum selama tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya bagi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Anthony Kevin Morais menawarkan ikat jamin sebanyak RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan alasan tertuduh enggan bekerjasama dalam siasatan kes tersebut.

Tambah Anthony, tertuduh juga sebelum ini pernah melarikan diri ke Brunei yang kemudiannya di tangkap oleh pihak berkuasa negara itu pada 9 Julai lalu sebelum di reman di Mahkamah Majistret di Miri sebelum didakwa.

Peguam Mohd Shahrullah Khan pula berkata, Putri Salbiah telah kembali ke Brunei untuk menjaga bapanya yang sakit dan meminta ikat jamin sebanyak RM10,000 bagi semua pertuduhan.

Hakim Ahmad Zamzani Mohd Zain bagaimanapun menetapkan ikat jamin sebanyak RM24,000 dikenakan terhadap Putri Salbiah bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin selain pasportnya ditahan.

Beliau menetapkan 16 Ogos depan sebagai sebutan semula kes dan memerintahkan pihak pendakwa membatalkan perintah tahanan yang dibuat di Miri dan mahkamah akan mengeluarkan surat kepada Mahkamah Majistret di Miri bagi tujuan tersebut.






Putri Salbiah sebelum ini dikenali dalam filem 80-an iaitu Ranjau Sepanjang Jalan di samping pelakon Sarimah dan Ahmad Mahmud. Beliau juga pernah berkahwin dengan dengan anak Seniwati Sarimah, iaitu pelakon M.Jamil. Pasangan pelakon itu akhirnya telah bercerai setelah beberapa tahun mendirikan rumahtanggga.

Dia juga pernah menjadi pelakon utama dalam filem Keluarga 99 pada tahun 1987 bersama Salih Yaacob, Mr. Os dan Din Glamour.