Rabu, 15 Mei 2013

Angelina Jolie Jalani Pembedahan Membuang Payudara

IBU Angelina, Marcheline (kiri) meninggal dunia ketika berusia 56 tahun akibat barah.



Los Angeles: Angelina Jolie berkata dia menjalani dua pembedahan membuang payudara selepas mendapati dia membawa gen yang hampir pasti menyebabkan barah kepadanya.

Aktres yang pernah memenangi anugerah Oscar itu dan pasangannya, Brad Pitt membuat pengumuman itu dalam bentuk rencana pengarang yang ditulis bagi akhbar The New York Times edisi hari ini.

Angelina menulis rencana itu antara awal Februari dan akhir April lalu selepas dia melengkapkan prosedur pembedahan bagi membuang kedua-dua payudaranya.

Menurut Angelina, 37, dia membuat pilihan itu kerana memikirkan enam anaknya dan selepas melihat ibunya, Marcheline Bertrand, meninggal dunia “terlalu muda” akibat barah. “Ibu saya berjuang melawan barah hampir sedekad dan mati ketika berusia 56 tahun.

“Dia sempat melihat cucu pertamanya dan memeluk mereka, tetapi anak-anak saya yang lain tidak berpeluang mengenali dan merasai sendiri kasih sayangnya,” katanya. Menurut Angelina, anak-anaknya pernah bertanya jika barah pada Marcheline itu boleh berlaku ke atas dirinya. Selepas menjalani ujian generik, kata Angelina, dia mendapat tahu gen BRCA1 ada pada dirinya.


Angelina Jolie dan Brad Pitt bersama enam orang anak-anak mereka.


Keadaan itu, katanya, menyebabkan dia mempunyai 87 peratus peluang untuk menghidap barah. Angelina berkata, dia menulis mengenai pembedahan mastektomi itu dengan harapan dapat membantu wanita lain. “Saya mahu memberitahu wanita lain bahawa keputusan menjalani mastektomi tidak mudah, tetapi saya gembira kerana melakukannya.

“Peluang saya menghidap barah menurun daripada 87 peratus kepada kurang daripada lima peratus.

“Saya boleh beritahu anak-anak bahawa mereka tidak perlu bimbang kehilangan ibu mereka akibat barah payudara,” katanya. Dalam tulisannya, Angelina turut memperincikan prosedur dilaluinya.

“Proses saya bermula pada 2 Februari melalui prosedur penangguhan puting yang memastikan tiada penyakit di saluran payudara di belakang puting, serta melakukan aliran darah tambahan ke kawasan itu,” katanya.

Dia kemudian menjalani pembedahan utama dua minggu kemudian untuk membuang tisu payudara.

“Ia seperti adegan filem fiksyen sains,” katanya. Sembilan minggu kemudian, dia menjalani pembedahan ketiga bagi membentuk semula payudara dan menerima implan. “Saya tidak berasa apa-apa kekurangan sebagai wanita, sebaliknya bangga kerana membuat pilihan yang tepat tanpa mengurangkan unsur kewanitaan saya,” katanya. Angelina juga memberitahu, Pitt sentiasa berada di sampingnya setiap masa ketika pembedahan dijalankan di Pusat Payudara Pink Lotus itu. - AP

0 komentar:

Posting Komentar