Sabtu, 02 Maret 2013

Shila Amzah Yang Dulu Sudah 'Kembali'

Shila Amzah mahu kekal bertudung



SUSULAN kontroversi yang melanda penyanyi Patah Seribu, Shila Amzah baru-baru ini, ibunya, Fauziah Sarman akui Shila yang dahulu sudah 'kembali'.

Fuziah atau lebih mesra dengan nama panggilan Kak Zie berkata demikian ketika ditemui dalam majlis doa selamat sempena keberangkatan mereka sekeluarga minggu hadapan untuk menunaikan umrah.

"Satu perkaralah. Dah dapat Shila yang dulu. Alhamdulillah," katanya kepada Sinar Harian.

Dalam pada itu, Kak Zie juga memberitahu bahawa apa yang berlaku kerana anak gadisnya itu terlepas pandang.

"Dia sudah matang. Tanpa kita bercakap pun sebenarnya dia sudah tahu cuma dia terlepas pandang tetapi dia OK, insya-ALLAH. Dia pun sayang karier dia," katanya dengan tenang.

Shila juga memilih untuk memfokus pada kerjaya tanpa memikirkan soal jodoh.

"Buat jangka masa sekarang saya tak terfikir dan memang tak nak fikir mengenai perkara ini (cinta) buat masa sekarang. Apa yang saya boleh katakan, saya berserah seratus peratus pada ALLAH apa saja jodoh saya, perjalanan saya, apa jua yang berlaku akan datang ini, saya berserah saja.

"Kalau saya cakap nak 'A' pun tapi ALLAH kata 'A' itu bukan untuk awak, 'B' itu untuk awak. Jadi, kita tak boleh buat apa. Kita hanya merancang," katanya.

Tambahnya, "sekarang ini perancangan saya lebih pada kerjaya. Selain itu, apa jua yang disuratkan ALLAH untuk saya, saya terima dengan hati dan tangan terbuka. Saya tak nak melebihi apa yang ALLAH takdirkan untuk saya."

Mengulas soal klip video yang dimuat naik ke laman sosial YouTube di mana Shila menyanyikan lagu Ombak Rindu sambil menangis itu, Shila akui video itu ditujukan buat ibu bapanya.

"Itu sebenarnya untuk ibu bapa saya. Apa yang saya buat sebab saya sangat dekat dengan media sosial.

"Kehidupan saya memang dari dulu, Friendster ke, Myspace ke, MIRC ke, itu hidup saya, saya tak ambil pusing apa orang cakap sebab saya tak boleh halang mereka bercakap. Itu pilihan mereka," katanya.

Sementara itu, ND Lala memberitahu ekoran laporan polis dibuat sebelum ini berhubung kehilangan Shila, pihaknya dinasihatkan agar tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh mengganggu siasatan.

"Laporan polis sudah dibuat, polis sedang melakukan siasatan. Jadi, tidaklah sesuai untuk kita beri apa-apa komen supaya ia tidak mengganggu proses siasatan.

"Jadi, apabila kita dinasihatkan tidak menyentuh perkara yang menganggu, jadi kita kena hormatlah undang-undang," katanya.

ND Lala mahu pihak media memberi hebahan tentang kejayaan Shila berbanding kisah peribadi.

"Ada berpuluh-puluh kejayaan Shila, berbanding isu yang satu ini. Jadi kalau rakan-rakan media dapat bersama-sama timbulkan perkara ini berbanding perkara-perkara bersifat peribadi," katanya.

Sebelum ini, kisah cinta Shila dengan pelakon, Sharnaaz Ahmad mendapat perhatian umum apabila timbul pelbagai kontroversi membabitkan hubungan mereka.

OLEH RAZIATUL HANUM A.RAJAK

0 komentar:

Posting Komentar