Liyana Jasmay dan Fathuddin Mazlan sah menjadi suami isteri.
KUALA LUMPUR: Dengan dua kali lafaz, pasangan Liyana Jasmay, 25, dan Fathuddin Mazlan, 29, selamat diijabkabulkan pada pagi Sabtu.
Majlis pernikahan mereka diadakan di Hotel Seri Pasific kira-kira pukul 10 pagi.
Acara dimulakan dengan upacara berbalas pantun mengikut adat tradisi orang Melayu lama oleh kedua-dua belah pihak.
Pasangan tersebut diijabkabulkan sendiri oleh bapa Liyana iaitu Datuk Jasmay Md Shah dengan disaksikan oleh Pendaftar Perkahwinan dan Rujuk Orang Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Sahirman Ahmad.
Majlis pernikahan kedua-dua mempelai dihadiri kira-kira 250 orang jemputan yang terdiri daripada kaum keluarga rapat pengantin dan wakil media.
Fathuddin melafaz akad nikah sebanyak dua kali sebelum bergelar suami Liyana.
Pengantin perempuan menerima seutas gelang emas bernilai RM5500 sebagai mas kahwin sementara wang hantaran sebanyak RM28,388.
Dalam pada itu, pihak perempuan menerima lima dulang hantaran dan dibalas tujuh dulang.
Selain wang hantaran, antara barangan lain yang diberikan Fathuddin kepada Liyana termasuklah sirih junjung dan bunga rampai, tas tangan dan set barangan kemas.
Manakala Liyana membalas hantaran berupa kasut Prada, dompet, jam tangan Tag Heuer, manisan, tepak sirih dan juga cincin.
Liyana dan Fathuddin tampak anggun dengan mengenakan busana baju kurung moden rona putih rekaan Jovian Mandagie manakala Fathuddin segak berbaju Melayu dari rona sedondon.
Majlis resepsi perkahwinan mereka akan diadakan pada sebelah malam di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Oleh FERIDE HIKMET ATAK
0 komentar:
Posting Komentar