Siti Fazurina
MISTERI kehilangan pelakon siri Trilogi Cinta yang sudah sebulan tiada khabar, Siti Fazurina Mohd Famir atau Fazurina, 30, akhirnya terjawab apabila dikhabarkan kahwin lari dengan lelaki pilihannya, kelmarin.
Tiada angin tiada ribut, majlis yang diadakan dua hari lalu itu juga ternyata tidak diketahui ahli keluarganya sehinggalah ada saksi dalam keluarga memberitahu mereka.
Gagal menghubungi untuk mendapatkan kenyataan pelakon itu sendiri, adiknya, Siti Fazurita Mohd Famir, atau Fazurita, 27, menjelaskan kepada Harian Metro semalam kebenaran mengenai pernikahan mengejut itu.
Dia akui sangat terkilan dan tidak menyangka kakaknya sanggup berbuat demikian.
“Sudahlah kakak menghilang selama sebulan dan tidak menghubungi kami langsung, tiba-tiba dia kejutkan pula kami dengan perkahwinan itu. Saya paling kasihan pada ibu kami kerana disebabkan perkara itu, dia merasakan dirinya langsung tidak penting lagi di hati Fazurina.
“Kami sekeluarga memang membantah perhubungannya dengan lelaki itu kerana bukan saja tiada pekerjaan malah hanya bergantung dengan pendapatan kakak saya.
“Malah kakak saya juga pernah mengambil keputusan untuk memutuskan perhubungan mereka tidak lama dulu kerana sudah tidak tahan dengan lelaki berkenaan. Dia beriya-iya mahu memulakan hidup baru dan nekad melupakan Haikal.
“Bagaimanapun, hal itu tidak berlanjutan lama apabila dia kembali menjalin hubungan dengan lelaki itu malah tergamak kakak kahwin lari,” katanya.
Apapun, lebih mengecewakan katanya, saudara lain turut bersekongkol dalam urusan perkahwinan itu tanpa memaklumkan langsung kepada mereka.
Menurut Fazurita, mereka hanya berbuat demikian sebaik acara itu selesai dan meminta ibunya reda dan menerima hakikat itu.
“Sampai hati mereka merahsiakan perkara itu padahal kami ada menghubungi mereka bertanyakan sekiranya ada perkhabaran mengenai Fazurina selepas sebulan lamanya dia tidak pulang rumah.
“Rupa-rupanya, mereka juga terbabit dan membantu dalam persiapan itu. Kami ada bertanya juga beberapa kali namun mereka sering memberi alasan mengatakan tidak tahu apa-apa.
“Sehinggalah pagi kelmarin, kakak menghantar SMS kepada abang saya memaklumkan dia akan berkahwin petang itu. Sebaik saja majlis tamat, bapa saudara saya pula menghubungi ibu menyuruhnya reda saja dengan pilihan anaknya itu,” katanya.
Semalam Harian Metro melaporkan mengenai pelakon yang popular menerusi siri Dunia Anita itu menamatkan zaman bujang dengan penuh kontroversi apabila dikatakan bernikah tanpa pengetahuan keluarga di Masjid Jamek, Sungai Pinang, Pulau Pinang, petang kelmarin.
Menurut sumber terdekat pelakon terbabit, perancangan untuk acara akad nikah itu dibuat secara senyap tanpa pengetahuan ahli keluarga mahupun ibu pelakon itu.
Mereka juga kurang berkenan dengan lelaki pilihannya yang sudah dikenali kira-kira dua tahun itu kerana tidak bekerja dan tiada sumber pendapat tetap.
Fazurina pernah popular menerusi drama siri antaranya Puteri, Kelab Jeng Jeng, Misi Betty, Biarlah Rahsia serta telefilem seperti Relung Kasih, Pusara Ku Pelamin Ayah, Ingin Terbang Jauh dan Tipah Torpedo.
Pelakon komedi kelahiran Sungai Petani, Kedah dan anak kedua daripada lima adik-beradik itu juga pernah membintangi beberapa filem termasuklah Senario XX (2005), Estet (2010), Hantu Bukit Cina (2011 dan Baik Giler (2012).
Oleh Georgie Joseph
0 komentar:
Posting Komentar