Jumat, 28 Juni 2013

Rumah Almy Nadia Terbakar, Ibunya Patah Tulang Rusuk

Almy Nadia



PETALING JAYA: Baru sahaja kes putus cinta dengan pelakon Fizz Fairuz reda, aktres Almy Nadia ditimpa ujian lain apabila rumahnya di kampung terbakar, manakala ibunya patah tulang rusuk kanan.

Almy Atau nama sebenarnya Almy Nadia Aminuddin Shah, 27, berkata, dia amat sedih dengan kejadian itu, apatah lagi tidak dibenarkan pulang ke kampung oleh syarikat produksi kerana masih lagi terikat dengan penggambaran drama.

"Tuhan sahaja yang tahu bagaimana perasaan saya sekarang, fikiran saya hanya mengingatkan kampung halaman dan ibu yang sedang sakit.

"Saya memang minta cuti untuk balik sekejap sejak rumah saya terbakar minggu lalu tapi sehingga sekarang saya tidak dibenarkan cuti dengan alasan akan mengganggu jadual artis lain," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Jumaat.

Almy memberitahu pada 16 Jun lalu, rumah keluarganya di Kampung Pondok Upih, Balik Pulau, Pulau Pinang terbakar pada bahagian bilik tingkat bawah akibat letupan kecil daripada sebuah radio lama.

Bagaimanapun, menurut Almy, tiada ahli keluarga yang tercedera dalam kejadian tersebut.

Manakala pada malam Rabu lalu, ibunya Roshida Hashim, 45, pula mengalami patah tulang rusuk kanan selepas terjatuh di bilik air.

"Alhamdulillah walaupun kebakaran agak teruk tetapi tiada siapa yang tercedera dan bomba dapat mengawal api sebelum merebak ke bahagian atas.

"Saya difahamkan ia berlaku apabila sebuah radio lama meletup secara tiba-tiba walaupun tiada sebarang aliran elektrik kepada radio tersebut.

"Belum sempat saya balik menjenguk keluarga, saya diberitahu ibu pula jatuh bilik air, bayangkan bagaimana perasaan saya ketika ini," jelasnya.

Tambah Almy, perniagaan makanan sejuk beku yang baru sahaja diusahakan bersama ibunya turut tergendala.

"Kami baru sebulan mulakan bisnes karipap sejuk beku yang dibuat sendiri namun selepas rumah terbakar ia dihentikan sementara, ditambah pula ibu sekarang dalam keadaan tidak sihat.

"Insya-Allah kalau rumah sudah siap dibaiki dan ibu sihat, perniagaan itu akan disambung semula kerana permintaan setakat ini menggalakkan," katanya.

Bagaimanapun, kata Almy dia menerima dugaan tersebut dengan hati yang tenang dan menganggap ia adalah sebagai satu ujian daripada Allah.

"Saya susah hati dan tiada pula tempat mengadu, semuanya saya tanggung sendiri.

"Sekarang saya hanya fikir positif dan anggap ujian tersebut adalah penghapus dosa-dosa yang telah saya lakukan," katanya yang sedang menjalani penggambaran drama Maahad Al-Amin untuk televisyen Al-Hijrah.

Oleh KEMALIA OTHMAN

Jumat, 21 Juni 2013

Shah Jaszle & Redzwani Puteri Terpaksa Putus Tunang Kerana Desakan Keluarga

 Hubungan cinta Shahrizal dan Redzwani masih mesra seperti biasa.



PETALING JAYA: Hubungan cinta pelakon Shahrizal Jaszle, 25, dengan tunangnya Redzwani Puteri, 25, diputuskan atas desakan keluarga dan bukannya kerelaan hati pasangan tersebut.

Sumber terdekat pasangan itu berkata, keputusan untuk memutuskan pertunangan pada 10 Jun lalu dibuat oleh keluarga pihak perempuan dan ia seboleh-bolehnya tidak diingini oleh pihak lelaki.

“Keluarga perempuan yang mendesak untuk memutuskan pertunangan Shahrizal dengan Redzwani Puteri selepas berita kes penangkapan khalwat Shahrizal dengan seorang wanita heboh diperkatakan.

“Secara jujurnya, Shahrizal dan Redzwani Puteri masih lagi pasangan kekasih dan mereka tidak sanggup untuk berpisah,” kata sumber itu.

Sebagai bukti katanya, Redzwani Puteri kerap kali dilihat menemani Shahrizal di lokasi penggambaran dan jika benar mereka tiada kaitan, tidak mungkin pertemuan itu boleh berlaku.

 



Mesej berbalas yang dipaparkan pada Twitter Shahrizal dan Redzwani menunjukkan mereka masih lagi intim.
 

Jelas sumber itu lagi, Redzwani Puteri dan Shahrizal juga merasakan mereka masih lagi dalam ikatan pertunangan walaupun pada dasarnya pihak perempuan sudah memulangkan cincin pemberian pihak lelaki.

“Semalam (Khamis) Redzwani Puteri menemani Shahrizal di lokasi penggambaran sebuah drama di Taman Rimba Templer, Rawang. Ia adalah bukti mereka masih lagi mempunyai hubungan sama seperti pasangan kekasih lain.

“Ia diperkukuhkan lagi apabila kedua-dua mereka sering membalas mesej di Twitter sambil meluahkan rasa sayang masing-masing,” ujar sumber berkenaan.

Kisah pasangan tersebut menjadi bertambah rumit apabila ibu yang juga pengurus kepada Shahrizal iaitu Zaleha, 68, menerusi mStar Online pada Khamis mendakwa keputusan untuk memutuskan pertunangan pasangan tersebut hanya akan dibuat oleh keluarga kedua-dua pihak selepas keputusan mahkamah berhubung kes khalwat mereka pada November depan.

Bagaimanapun laporan akhbar pada Jumaat yang memetik sumber daripada abang Redzwani Puteri iaitu Redzwan Najib tetap mengatakan pihaknya sudah memutuskan pertunangan tersebut pada 10 Jun lalu dengan memulangkan semula dua bentuk cincin iaitu cincin belah rotan dan cincin berlian.

Shahrizal dan Redzwani Puteri bertunang pada 8 Disember 2012 dan mereka dijadualkan berkahwin pada 2015 selepas wanita yang menuntut dalam jurusan perubatan itu tamat pengajian.

Terdahulu dalam rancangan Melodi di TV3 Ahad lalu, seorang wanita yang mendakwa pasangan khalwat Shahrizal iaitu Farah Nurizzati Salleh, 21, mendakwa penangkapan itu bukanlah satu perangkap manakala dia dan Shahrizal mempunyai hubungan istimewa.

Kedua-dua mereka telah ditahan atas kesalahan khalwat pada 16 Mei lalu di Apartmen Taman Sri Subang, pada pukul 3.30 pagi oleh unit penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) hasil aduan orang ramai.

Penahanan tersebut dilakukan di bawah Seksyen 29(1) A dan B, Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 dan jika sabitkan kesalahan, pelaku boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Rabu, 19 Juni 2013

Kekasih Gelap Shahz Jaszle Tidak Akan Berdiam Diri

Gambar Farah ketika ditemubual oleh wartawan.


Kuala Lumpur: “Dakwaan kononnya saya perempuan aneh dan psiko sangat melampau dan saya tidak akan berdiam diri kerana saya bukannya bodoh seperti mana dia sangkakan,” kata wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Farah, 21 yang ditangkap khalwat bersama aktor Shahz Jaszle di sebuah unit Apartmen Taman Sri Subang, 16 Mei lalu.

Jelas Farah yang ditemui semalam, dia kesal dengan kenyataan Shahz atau nama sebenarnya Mohd Shahrizal Jaszle Jasmin yang sudah pun bertunang dengan Redzwani Puteri Disember lalu bagi menyelamatkan diri sendiri dan menutup sikap curang terhadap tunangnya.




 Gambar Shah Jaszle dan Tunangnya, Redzwani Puteri


Katanya, yang bekerja di sektor perbankan itu, dia terkejut membaca kenyataan Shahz dalam akhbar semalam kerana semuanya adalah penipuan dan permainan ‘murah’ seorang lelaki yang ingin lari daripada masalah.

“Bukti dan saksi yang tahu kami bercinta ada pada saya dan jangan sampai semuanya didedahkan jika keadaan mendesak. Malah, saya masih menyimpan semua perbualan kami menerusi BBM (Blackberry Messenger) di telefon bimbit sebagai bukti.

“Saya tidak teragak untuk membawa semua saksi dan bukti itu kepada media asalkan nama baik saya dan keluarga dapat dibersihkan. Jika benar dia (Shahz) bercakap benar, datang bersemuka atau kita berdepan pihak media bersama,” katanya.-HM




Minggu lalu nama Shah Jaszle kembali panas ekoran seorang wanita tampil membuat kenyataan tentang isu khalwat yang membabitkan pelakon it, kepada sebuah program hiburan hujung minggu lalu.

Dalam sebuah akhbar hari ini pelakon berusia 25 tahun itu tampil membuat kenyataan balas dengan menyifatkan tindakan wanita tersebut serta boleh mengeruhkan lagi keadaan.

Bagi menjelaskan apa yang berlaku, pelakon itu berhasrat mengadakan sidang media dalam waktu terdekat untuk mendedahkan segala-galanya, termasuk dakwaan mengatakan dia mempunyai hubungan istimewa dengan wanita terbabit.

“Saya akan mengemukakan semua bukti, termasuk khidmat pesanan ringkas (SMS) berbaur paksaan yang dihantar kepada saya. Dia hanya menunjukkan sebahagian SMS saja, tetapi kenapa tidak kemukakan semua sekali apa yang dihantar kepada saya?

“Lagipun apa bukti menunjukkan saya penghantar SMS itu, sedangkan tiada nombor yang tertera pada paparan skrin telefon?

“Sepatutnya saya dan peguam mahu memberikan fokus pada kes khalwat, tetapi nampaknya wanita itu bertindak melampau.

Dia sudah keterlaluan, jadi saya tidak boleh berdiam diri walaupun dinasihatkan menutup mulut,” katanya.
Selama berkenalan dengan wanita itu, kata pelakon ini, dia tidak pernah berjanji apa-apa dengannya.

“Dia memang suka mendesak, malah sanggup ke rumah keluarga untuk mencari saya,” katanya sambil menafikan mempunyai hubungan istimewa dengan wanita ‘misteri’ itu, seperti didakwa.

Jelas Shah lagi, dia mengenali wanita yang juga seorang kru dan pelakon tambahan itu ketika terbabit dalam penggambaran drama Lembayung Kasih Mu. Mungkin sikapnya yang mudah mesra membuatkan wanita terbabit menyalah tafsir niatnya.

“Kami kenal tiga minggu saja, jadi bagaimana dia boleh mendakwa kami mempunyai hubungan istimewa? Dia mengeluarkan gambar kami berdua, seolah-olah hendak membuktikan kami mempunyai hubungan intim. Memang saya mengaku itu gambar saya, tetapi ia diambil sewaktu di lokasi penggambaran.

“Saya rasa dia psiko. Dia sengaja mahu memutuskan hubungan saya dengan tunang, Redzwani Puteri. Sebelum kes khalwat ini, memang dia ada berjumpa dengan tunang saya, untuk mendedahkan mengenai hubungan yang kononnya wujud antara kami.

Tetapi, tunang saya tidak layan, malah tidak juga melatah. Mungkin kerana masih gagal memisahkan kami, dia menggunakan cara lain pula untuk memburukkan lagi keadaan.

“Memang saya sangat terkejut dengan tindakannya dan ia sedikit sebanyak mengganggu tumpuan saya pada kerja. Mujur tunang saya memahami dan mengenali siapa saya.

“Dia seorang yang pelik kerana selepas kes khalwat itu, dia tidak menunjukkan rasa bimbang atau serba-salah dengan apa yang berlaku. Seumur hidup, saya belum pernah berjumpa dengan manusia seanehnya,” katanya.

Shah Jaszle dan wanita berkenaan ditahan kerana dipercayai berkhalwat pada 16 Mei lalu, menerusi serbuan dilakukan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di Pangsapuri Taman Sri Subang, kira-kira jam 3.30 pagi.-BH


Minggu, 16 Juni 2013

Fasha Sandha Kembali Berlakon Drama Terbaru

 Gambar Fasha Sandha dan Rusdi Ramli di lokasi penggambaran drama terbaru berjudul 'Tentang Hati'.


SETELAH sekian lama menyepi dalam industri seni, aktres jelita, Fasha Sandha kini kembali menjalani penggambaran bagi drama terbaru berjudul Tentang Hati.

Baru sahaja melahirkan bayi pertamanya, Putra Rayfal, Fasha kelihatan lebih berseri dengan penampilan terbarunya itu.

Malah menerusi Twitternya, Fasha turut memuat naik gambarnya di lokasi penggambaran.

Menurut Fasha, dia telah memulakan penggambaran sejak 10 Jun lalu.

Kali ini pelakon berbakat itu bergandingan dengan dua hero kacak iaitu Aaron Aziz dan Rusdi Ramli dalam drama arahan pengarah terkenal, Feroz Kadir.



Sabtu, 15 Juni 2013

Manisnya Fiza Elite Bila Bertudung




Ketika menyambut ulangtahun kelahiran yang ke 30 pada Ogos 2011 yang lalu, Fiza Elite ada meluahkan hasrat beliau untuk berubah ke arah diri sendiri yang lebih baik & salah satu niatnya adalah untuk berhijab.

Setahun sembilan bulan selepas itu, Fiza Elite nampaknya telah berjaya menunaikan hasrat beliau itu dengan tampil bertudung penuh pada 6 Jun 2013 yang lalu — dan di’umum melalui akaun Instagram.


“Memang saya terfikir untuk bertudung sejak beberapa bulan ini. Saya tak mahu terburu-buru takut nanti saya melakukannya separuh jalan sahaja”

“Mahu berubah ini bukan setakat bertudung sahaja, tapi memerlukan kita untuk berubah secara dalaman juga”

“Cukupkah amalan kita? Cukupkah sembahyang kita?… tetapi kalau suatu hari nanti, anda lihat saya bertudung… itulah dia,” ujar Fiza Elite yang pernah popular dengan imej seksi di zaman remaja.

Berikut beberapa keping imej berhijab terbaru Fiza Elite — 

manis ‘kan?






Kredit Sumber: Rotikaya

'Hantu Kapcai' Menang Filem Terhebat Anugerah Blokbuster 2012





JOHOR BARU: Filem Hantu Kapcai arahan Ghaz Abu Bakar membawa tuah buat pengarahnya apabila dinobatkan sebagai Filem Terhebat Anugerah Blokbuster 2012.

Kemenangan itu membolehkan Hantu Kapcai terbitan Showbiz Sdn Bhd membawa pulang trofi serta wang tunai keseluruhan berjumlah RM15,000.

Hantu Kapcai turut memenangi kategori Filem Aksi Terhebat dan Filem Kelakar Terhebat termasuklah Hero Terhebat (Zizan Razak).




Sementara itu pengarah Dharma Harun Al-Rashid turut membuat kejutan apabila memenangi bagi kategori Direktor Baru Terhebat menerusi filem Adik Manja Returns.

Hadiah bagi anugerah PFM(Persatuan Filem Malaysia) yang diraih oleh penerbit David Teo dan Astro First Terhebat (Ombak Rindu) di sampaikan oleh presiden PFM iaitu Datuk Yusof Haslam dan Naib Presiden Bahagian Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh.

Anugerah Blockbuster 2012 merupakan penganjuran buat kali kedua bagi memartabatkan filem-filem serta penggiat seni tempatan.

Sebanyak 16 kategori yang melibatkan 49 pencalonan (bagi setiap kategori) diperkenalkan menggunakan 100 peratus undian daripada orang ramai.

Antara filem-filem yang bertanding termasuklah Chow Kit, Ngorat, Istanbul Aku Datang, Adnan Sempit 2, 29 Februari, Apa Celop Toqq, Mael Lambong, Untuk Tiga Hari, Jiwa Taiko, Kahwin Lima dan Zaiton Ceritaku.

Acara itu telah berlangsung di Stadium Tertutup MBJB (Majlis Bandaraya Johor Baru), Johor pukul 9.00 malam dan disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro Ria.

Berikut adalah senarai pemenang Anugerah Blokbuster 2012:

1. Anugerah Filem Terhebat: Hantu Kapcai

2. Anugerah Tuan Direktor Terhebat : Syamsul Yusof (Jalan Kembali Bohsia 2)

3. Anugerah Direktor Baru Terhebat : Dharma Harun Al-Rashid (Adik Manja Returns)

4. Anugerah Filem Aksi Terhebat : Hantu Kapcai

5. Anugerah Filem Kelakar Terhebat : Hantu Kapcai

6. Anugerah Filem Takut Terhebat : Sumpahan Kum Kum

7. Anugerah Drama Muzikal Terhebat : Aku Ada Kau Ada?

8. Anugerah Hero Terhebat : Zizan Razak (Hantu Kapcai)

9. Anugerah Heroin Terhebat : Yana Samsudin (3 Temujanji)

10.Anugerah Watak Penyangak Terhebat : Sofi Jikan ( Jalan Kembali Bohsia 2)

11.Anugerah Lagu Tema Terhebat : Beginilah Caranya (Aku Ada Kau Ada?)

12. Anugerah Hero Baru Terhebat: Izzue Islam (29 Februari)

13. Anugerah Heroin Baru Terhebat: Neelofa (Azura)

14.Anugerah PFM : David Teo

15.Anugerah Astro First Terhebat : Ombak Rindu


Oleh FERIDE HIKMET ATAK

Rabu, 12 Juni 2013

Nas-T Tetap Sayangkan Nabila Huda

Gambar Nabila Huda dan Nas-T semasa bercuti di Sydney, Australia. 


 Abil menulis pengakuan yang mengejutkan di Instagram... NAS-T menegaskan dia memahami dan boleh menerima hakikat Nabila yang sedang dilanda emosi sekarang ini.




HUBUNGAN cinta antara pelakon Nabila Huda dan Nas-T bulan lagi rahsia selepas mereka secara terbuka mengumumkan cinta yang terjalin pada April lalu.

Bahkan gambar-gambar mesra antara mereka boleh ditatap umum di laman Instagram masing-masing.

Bagaimanapun pagi semalam, Nabila menulis pengakuan yang mengejutkan di Instagram dengan memberitahu, hubungan cinta mereka telah berakhir.

Kata Nabila, mereka berdua lebih sesuai menjadi sahabat baik berbanding sebagai pasangan kekasih.

Sungguhpun begitu, ujar Nabila menerusi Instagram lagi, mereka berdua akan kekal sebagai sahabat baik walaupun sudah tidak bercinta. Itu luahan Nabila.

Bagaimanapun, Nas-T atau nama sebenarnya Nas Muammar Zar ketika dihubungi Kosmo! di set penggambaram telefilem Anak Imam Argentina semalam mengakui dia sendiri terkejut dengan apa yang berlaku.

Kosmo!: Adakah benar, Nas-T dan Nabila telah putus cinta?

NAS-T: Rasanya saya tidak perlu memberi komen tentang hal ini kerana sebenarnya tidak ada apa-apa yang berlaku, mungkin apa yang ditulis Nabila di Instagram disebabkan faktor emosi.

Kalian berdua sedang bergaduh?

Biasalah, pasangan bercinta pasti akan bergaduh. Begitu juga dengan kami berdua tetapi kami masih lagi berhubung dan bercakap seperti biasa. Biarlah keadaan reda dahulu, baru saya akan duduk berbincang dengannya. Sekarang ini kami berdua sibuk dengan kerja masing-masing, sebab itulah terjadinya hal seperti ini.

Apakah perasaan anda apabila Nabila menulis secara terbuka tentang hubungan kalian di Instagram yang boleh dibaca oleh orang ramai?

Terkejut juga tetapi saya sudah lama kenal dia sejak kami kecil lagi. Saya faham perangai dia, perempuan biasalah, bila tengah emosi, itulah yang akan berlaku. Jadi, saya tidak kisah, saya terima sahaja. Apapun saya masih sayangkan dia sama seperti dahulu.

Nabila ada menulis yang kalian lebih sesuai sebagai sahabat baik daripada pasangan kekasih. Komen?

Memang saya sayangkan dia sejak kami berkawan sehinggalah bercinta dan perkara itu tidak akan berubah sampai bila-bila walaupun apa jua status hubungan kami kelak. Kami akan kekal seperti dahulu, masih berjumpa dan meluahkan masalah masing-masing. Bagi pihak saya pula sebenarnya saya lebih suka dia menjadi seorang kekasih kerana dia melengkapi diri saya.

Apakah masa depan hubungan kalian di mata anda?

Saya sendiri tidak boleh ramal. Kami selesa bersama sebagai sahabat baik serta kekasih. Dia faham saya dan saya juga amat memahami dia. Jika jodoh antara kami kuat, mungkin kami berkahwin tetapi jika tidak, saya tetap akan ada dalam hidup Nabila sebagai sahabat baiknya sampai bila-bila.

Oleh HARYATI KARIM

Senin, 10 Juni 2013

Berita Diana Danielle Telah Bersalin Tidak Benar

Diana Danielle - Foto daripada Instagram Diana Danielle



PETALING JAYA: Desas-desus yang tersebar kononnya pelakon Diana Danielle telah bersalin lebih awal iaitu tujuh bulan selepas kahwin adalah tidak benar sama-sekali.

Jurucakap pihak pengurusan Metrowealth memberitahu, tuduhan itu sememangnya tidak berasas kerana isteri kepada pengarah filem Farid Kamil itu akan bersalin selewat-lewatnya pada awal Ogos depan.

"Diana belum bersalin lagi, saya diberitahu dia akan bersalin pada akhir Julai atau awal Ogos depan.

"Setakat ini Farid akan habiskan dulu penggambaran drama untuk Astro dan mungkin selepas itu baru dia ke Australia untuk persiapan tersebut," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Isnin.



Foto daripada Instagram milik Farid Kamil yang menjadi kontroversi.
 

Terdahulu, sebuah akhbar Mingguan pada Ahad lalu menerusi ruangan pojoknya melaporkan aktres tersebut sudah selamat melahirkan seorang bayi lelaki di sebuah hospital berdekatan kediaman Diana di Sydney, Australia pada hujung Mei lalu.

Dalam pada itu, Farid yang sedang bercuti daripada sebarang penggambaran akibat kemalangan motosikal minggu lalu dijadualkan mula pada minggu ini bagi menyelesaikan penggambaran drama Jodoh Itu Milik Kita.

Sementara itu, pada Ahad lalu, Farid telah memuat naik gambarnya sedang mencium seorang bayi lelaki di laman sosial Intagram dan Facebook yang menjadi tanda tanya pelbagai pihak.

Bagaimanapun, gambar bayi yang sama turut dimuat naik oleh adiknya pelakon Fadzil Zahari di laman media Instagram miliknya sejak seminggu yang lalu.



Foto milik Fadzil Zahari di laman Instagram pada 25 Mei lalu.
 

Fadzil yang dihubungi berkata bayi tersebut merupakan anak adik lelakinya yang lahir pada 11 Mei lalu.

"Gambar itu bukan anak Farid tetapi anak saudara kami yang kini berada di Seremban.

"Saya difahamkan Diana akan bersalin akhir Julai atau awal Ogos depan dan Insya-Allah jika tiada halangan saya juga akan melihatnya di sana," katanya.

Sementara, Diana dalam laman Twitter miliknya kini masih aktif mengikuti beberapa kelas lakonan dalam kursus perfileman yang diambil di negara berkenaan.

Pasangan selebriti tersebut diijabkabulkan pada 3 November tahun lalu di Hotel Flamingo By The Lake, Kuala Lumpur.


Oleh KEMALIA OTHMAN



Minggu, 09 Juni 2013

Black 'Mentor' Nyaris Putus Tunang

Gambar Black bersama tunangnya, Cira Khairi 
 

Black mempunyai alasan tersendiri apabila enggan mendedahkan tunangnya, wanita yang dikenali sebagai Cira Khairi, kepada umum. Begitupun, sekali-sekala terpampang juga wajah wanita ini di laman sosial Instagram penyanyi terbabit.

“Bukan sekadar tidak mahu mendedahkan insan tersayang, malah Black turut merahsiakan majlis pertunangannya yang diadakan 26 Januari lalu.

Agak tidak adil kalau saya beritahu sekarang kerana ramai rakan media yang ingin mengetahuinya. Jadi, pada sidang media itu nanti, saya akan umumkan tarikh, tema dan lokasi majlis,” katanya.

Mengakui dugaan bertunang amat berat, ditambah pula dirinya seorang artis, Black bimbang berdepan ujian yang boleh menyebabkan ikatan mereka terlerai.

Namun, saat dirinya berhati-hati menjaga hubungan, Black tetap tidak dapat lari daripada dugaan amat hebat, sehingga hampir memutuskan tali pertunangan.

Sebulan selepas termeterai ikatan itu, perasaan bercampur-baur mula menyelubungi diri masing-masing. Waktu itu, pergaduhan dan pertikaman lidah mudah saja tercetus, walaupun dek kesilapan kecil.

Tidak tahu punca sebenar sehingga berlaku ‘perang besar’, Black bertindak menemui pakar rawatan alternatif. Dari situ dia menyedari, mereka terkena buatan orang.

“Sebab itu saya tidak mahu menonjolkan dirinya kepada umum. Kami bergaduh sampai ke tahap masing-masing sudah tiada perasaan dan hampir saja memutuskan pertunangan. Saya tidak tahu siapa yang lakukan? Tetapi saya diberi tahu, orang yang melakukannya ialah orang yang dikenali.

“Saya tidak pernah berdendam atau bermusuh dengan sesiapa. Namun apa yang berlaku mungkin ada hikmahnya,” katanya.

Sudah memperlengkapkan diri untuk bergelar suami, persiapan majlis perkahwinan yang dijangkakan berlangsung selepas Aidilfitri nanti juga kini mencapai 70 peratus.

Namun, penyanyi berusia 26 tahun ini tetap merahsiakan tarikh sebenar hari bahagianya. Black hanya akan mengumumkan tarikh bersejarah itu pada sidang media yang akan diadakan 3 Julai nanti.

“Agak tidak adil kalau saya beritahu sekarang kerana ramai rakan media yang ingin mengetahuinya. Jadi, pada sidang media itu nanti, saya akan umumkan tarikh, tema dan lokasi majlis,” jelasnya lagi.

“Apa yang penting bagi saya, selesai yang wajib (akad nikah) dulu. Sebelum puasa, saya akan menghadiri kursus kahwin dan menyudahkan beberapa lagi urusan termasuk hantaran kerana masa semakin suntuk,” katanya yang akan keluar dengan dua single baru berjudul Puisi Sang Dewi dan Takkan Terpisah, yang dijadikan runut bunyi masing-masing untuk filem Lemak Kampung Santan dan drama siaran Astro.-BH



Ameng 'Spring' Kini Bebas Daripada Pengaruh Dadah

Ameng bersyukur kepada Allah S.W.T kerana memberi peluang kepadanya untuk bermuhasabah diri agar kembali ke jalan yang benar. 



PUTRAJAYA: Penyanyi Ameng (Spring) mengesahkan dia kini sudah bebas daripada pengaruh dadah sejak menjalani pemulihan selepas dijatuhi hukuman penjara pada 12 April 2011.

Ameng atau nama sebenarnya Wan Aminuddin Wan Ismail, 45 berkata, dia bersyukur kepada Allah S.W.T kerana memberi peluang untuk bermuhasabah diri agar kembali ke jalan yang benar.

"Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Jabatan Penjara Malaysia kerana menyokong saya dan mengembalikan saya sebagai manusia normal.

"Dengan erti kata lain, Jabatan Penjara Malaysia telah mengembalikan saya menjadi seorang penyanyi yang sebenar, seorang penyanyi pada hari ini yang bebas tanpa dadah.

"Kini, Ameng Spring bukan lagi Ameng yang dahulu. Kini, Ameng Spring adalah Ameng yang baru... Ameng yang bebas daripada dadah," katanya pada Majlis Jalinan Kasih Bersama Media anjuran Jabatan Penjara Malaysia di Hotel Palm Garden dekat sini, Jumaat lalu.

Ameng memberitahu dia kini banyak menghabiskan masa dengan belajar bertarannum dalam membaca Al-Quran di penjara.
 

Pada majlis itu, Ameng diberi peluang untuk membuat persembahan dengan menyanyikan tiga buah lagu popularnya iaitu Pesanan Buat Kekasih, Sampai Hati dan Kita Ditakdirkan Jatuh Cinta.

Ameng berkata, apabila dia dipenjarakan atas kesalahannya yang lalu barulah dia menyedari erti menjadi manusia yang sebenar.

Katanya, apa yang dibanggakan selama ini tidak memberikan makna di sisi Allah S.W.T kecuali disertakan iman dan amalan agama.

"Apa yang penting ialah kita perlu berubah. Usah dikenangkan apa yang telah berlaku tetapi kita beringat tentang apa yang akan berlaku," katanya.

Dalam pada itu, Ameng turut berkongsi pengalamannya di penjara yang dia kini teruja mencuba satu bidang baru iaitu belajar bertarannum dalam membaca Al-Quran.

"Sekarang saya giat belajar bertarannum Al-Quran. InsyaAllah kalau saya panjang umur, kalau ada rezeki saya apabila dibebaskan nanti, saya berazam selain daripada melahirkan lagu-lagu dalam bentuk CD (cakera padat), saya juga berniat ingin merakamkan ayat-ayat suci Al-Quran.

"Dan saya berharap semoga Allah S.W.T memakbulkan impian saya," kata Ameng lagi.

Ameng kini ditahan di Penjara Kluang, Johor bagi menjalani hukuman penjara lapan tahun dan 10 bulan, serta dikenakan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Melaka pada 12 April 2011 kerana kesalahan dadah.

Oleh IWAN SHU-ASWAD SHUAIB

Tahniah!! Farid Kamil dan Diana Danielle Dapat Anak Lelaki

Farid menunjukkan anak lelakinya. 



Pelakon berdarah kacukan Melayu-Inggeris, Diana Danielle dilaporkan selamat melahirkan seorang bayi lelaki di Sydney, Australia baru-baru ini.

Farid Kamil memuat naik gambar bayi lelakinya itu di laman sosial, Instagram kira-kira jam 4 petang ini.

Pada gambar itu, Farid menulis, "welcome to the world my boy."

Diana yang ketika ini menyambung pelajaran di dalam Sarjana Muda Asas dan Rekaan di University of Sydney khabarnya bersalin di sebuah hospital berdekatan kediamannya di kota tersebut.

Aktres yang membintangi filem 'Sembunyi' itu sah menjadi isteri kepada pelakon juga pengarah Farid Kamil pada 3 November lalu dan pengumunan yang beliau mengandung kurang 2 minggu selepas itu menimbulkan sedikit kontroversi. Tidak lama kemudian, Diana berangkat ke Australia bagi melanjutkan pelajaran di sana.


Tahniah buat Farid Kamil & Diana Danielle serta seluruh keluarga mereka di atas kehadiran cahaya mata pertama mereka ini.


Kredit Foto: Instagram Farid Kamil

Al Fatihah!! Seniwati Latifah Omar Meninggal Dunia

 Seniwati Latifah Omar



KUALA LUMPUR - Seniwati terkenal era Cathay Keris, Latifah Omar meninggal dunia di Pusat Rawatan Rapi, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia kira-kira pukul 6.20 petang tadi pada usia 74 tahun.

Seniwati Latifah Omar dilaporkan berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) setelah menjalani pembedahan akibat penyakit ulser. Pelakon veteran berusia 74 tahun itu dimasukkan ke wad sejak seminggu lalu setelah mengadu sakit perut dan mengalami muntah-muntah.


Anak Allahyarhamah, Affendi Rahmat memberitahu ibunya meninggal dunia kira-kira pukul 6.19 petang.

"Mak (Latifah) meninggal dunia jam 6.19 petang, jenazah akan dibawa balik ke Keramat (Kuala Lumpur) dan dikebumikan pada esok pagi," katanya kepada mStar Online menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS), di sini, Ahad.

Jenazah akan disembahyangkan di Masjid Al Ansar Taman Keramat di sini sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al Ansar kira-kira pukul 11 pagi Isnin.


 Gambar Seniwati Latifah Omar di zaman mudanya.


Seniwati Latifah Omar memulakan karier seninya dalam bidang lakonan sejak berusia 16 tahun dan turut berlakon di samping Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan Allahyarham Seniman Nordin Ahmad.

Beliau sudah berlakon lebih daripada 20 buah filem antaranya Panggilan Pulau, Laila Majnun, Gurindam Jiwa dan Bawang Putih Bawang Merah dan Naga Tasik Chini, Raden Mas, Serangan Orang Minyak, Hang Jebat dan Lanchang Kuning. Pada 1953, Latifah juga dinobatkan sebagai ratu cantik Singapura.

Industri filem tanahair kehilangan sebutir lagi bintang hanya selepas beberapa hari lalu, rakan seangkatan Allahyarhamah iaitu Seniman S.Shamsuddin juga meninggal dunia di Singapura akibat sakit tua dan paru-paru berair.


Semoga roh Allahyarhamah dicucuri rahmat dan ditempatkan di sisi mereka yang beriman dan beramal soleh. Amin.

Al Fatihah.

Minggu, 02 Juni 2013

Gambar Sekitar Majlis Pertunangan Fouziah Gous & Zhafran




Sebentar tadi telah berlangsungnya majlis pertunangan pelakon kacukan Pakistan-Cina-Melayu, Fouziah Gous, 30 dan kekasihnya yang juga merupakan ahli perniagaan dan perunding keewangan, Md Zhafran (Zhaf), 30.

Hubungan cinta mereka terjalin selepas sama-sama mengusahakan perniagaan sarang burung.

Majlis berkonsepkan ala Inggeris dengan tatahias warna putih yang berlangsung restoran Asmara Pencahala, Sungai Penchala  dalam suasana yang cukup meriah dihadiri seramai 500 terdiri saudara mara, kenalan rapat, dan para wakil media.

Acara kemuncak menyaksikan ibu Zhafran, Puan Normah Ali menyarungkan cincin ke jari Fouziah tanda diri pelakon 'Trilogi Cinta' dan 'Cinta Bertamu di Abu Dhabi' itu kini tunangan kepada anak lelakinya. Saat manis itu turut disaksikan oleh ibu Fouziah.

Berikut foto-foto sekitar majlis pertunangan 'pasangan bird nest (sarang burung)' ini untuk tatapan anda :















Kredit Sumber: malaysiandigest.com

Panas!! Shila Lama Goda Suami Orang

 Shila Lama



LAMA sungguh Diva tak dengar cerita pasal pelakon dan penyanyi lama, namanya pun Shila Lama. Patutlah Diva macam tak berapa ingat sangat cerita terbaharu dia.

Dahulu, katanya Shila ada buka agensi modelling lepas tu timbul gosip cinta Shila dengan Wan Shades. Sampai sekarang tak tahu pula apa perkembangan terkini dia.

Alih-alih, Diva dapat panggilan telefon daripada perisik tetap Diva, katanya dia dapat hidu satu cerita panas pasal Shila Lama. Fikir Diva, sesekali muncul bolehlah Diva cerita Shila Lama, nanti lama-lama orang lupa pula ada artis kita yang namanya Shila Lama.

Katanya, Shila sekarang tengah bermain dengan api apabila menjalinkan hubungan dengan seorang lelaki kaya, malangnya lelaki itu suami orang. Katanya, selama ini lelaki berkenaan sudah banyak tabur saham kepada Shila, banyak tak tahulah banyak mana, tapi katanya, kira lepaslah Shila nak jalankan operasi perniagaan yang dijalankan sekarang.

Kata sumber Diva juga, isteri lelaki tadi yang hanya mahu dibahasakan sebagai Aini itu sudah dapat tahu hubungan suaminya dengan Shila. Dia juga sudah naik hantu. Hal rumah tangga orang Diva tak tahu, tapi setahu Diva isteri lelaki berkenaan memang berbulu dengan Shila sampai sanggup mengadu kepada wartawan yang dikenalinya.

Aduhai, elok-elok dah berniaga datang pula masalah. Kalau ini satu salah faham, Diva rasa Shila patut bersemuka dengan isteri lelaki yang bertindak menyuntik modal ke dalam bisnesnya. Isteri mana yang tak cemburu kalau suaminya baik semacam dengan perempuan lain, cantik, sopan ayu dan bertudung litup lagi.


Kredit: Sumber

Sabtu, 01 Juni 2013

Dengan Sekali Lafaz, Shajiry & Yusnita Sah Suami Isteri


   

Penyanyi 90-an yang pernah popular menerusi lagu Orang Kita dan Hadirlah Kasih, Shajiry, sah bergelar suami kepada Yusnita Yusof dengan hanya sekali lafaz, tepat jam 11 pagi, sebentar tadi. Majlis ijabkabul telah diadakan di Masjid Saidina Omar Al-Khattab, Bukit Damansara.

Shajiry atau nama sebenarnya Mohamad Shajiri Damery telah dinikahkan oleh bapa saudara pengantin perempuan iaitu Sahak Mohd Amin. Turut disaksikan oleh Ketua Imam Masjid Omar Al-Khattab merangkap penolong pendaftar nikah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Mohamad Shukri Yaaccob.

Yusnita menerima mas kahwin sebanyak RM1000 tunai dan wang hantaran sebanyak RM15,000 tunai.

Sejurus selepas akad nikah, diadakan upacara pembatalan air sembahyang. Shajiry menyerahkan mas kahwin serta menyarungkan cincin kepada isterinya. Kemudian si isteri pula menyarungkan cincin kepada pelakon filem Bro, Mana Motor Gua, ini.




Penyanyi yang pernah menganggotai kumpulan pop, KGB, ini memberi sembilan dulang hantaran kepada pengantin perempuan antaranya, sebentuk cincin, sireh junjung, kek dan sepasang kasut.

Sebagai balasan, Yusnita memberi 11 dulang hantaran kepada pengantin lelaki yang berupa senaskah Al-Quran, sireh Junjung, set pewangi jenama Chanel, seutas jam tangan Armani Excharge, sebentuk cincin, set persalinan lelaki, buah-buahan, sepasang kasut jenama Pedro, set penjagaan diri Crabtree & Evelyn, sebuah kamera Samsung Galaxy, sling bag dan dompet berjenama Gucci.

Pasangan mempelai mengenakan busana sedondon berona putih. Shajiri segak berbaju Melayu dan Yusnita anggun mengenakan baju kurung moden-tradisional.

Majlis yang diadakan serba ringkas tapi penuh meriah ini dihadiri seramai kira-kira 100 tetamu terdiri daripada ibu bapa serta ahli keluarga terdekat kedua-dua mempelai, teman-teman rapat, rakan artis seperti Dior, Toi (Hyper Act) dan para wakil media.




 Shajiry dan Yusnita mula berkenalan sejak tiga tahun lalu bermula hanya sebagai rakan kongsi perniagaan. Pasangan ini telah mengikat tali pertunangan pada 9 Mac lalu.

Majlis resepsi pasangan suami isteri ini akan diadakan pada 8 Jun, di kampung halaman Shajiry, di Ipoh, Perak.


- mD
- Kredit Foto: Faisol Mustafa